Polis Pahang pantau pusat tumpuan pelancong, musim cuti sekolah

Polis Pahang pantau pusat tumpuan pelancong, musim cuti sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang bersedia meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan secara rawak di lokasi tumpuan pelancong berikutan peningkatan kes pandemik Covid-19, ketika musim cuti sekolah bermula 26 Februari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pemantauan dibuat bagi memastikan setiap pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan termasuk lengkap divaksinasi.

“Buat masa ini, pegawai dan anggota polis sedia ada mencukupi bagi pemantauan SOP dan kita percaya mereka boleh menjalankan tugasan seperti diarahkan. 

“Sebagai contoh di Pulau Tioman, pegawai dan anggota kita memang diarahkan membuat semakan di jeti bagi memastikan hanya mereka yang sudah lengkap vaksin dibenarkan ke pulau itu. 

“Begitu juga di Cameron Highlands, mereka akan melakukan pemeriksaan secara rawak bagi memastikan tidak berlaku pelanggaran SOP,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pahang Pride Student di MBS Bookstores di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, setakat ini hanya satu kompaun dikeluarkan polis kepada pengunjung Pulau Tioman kerana gagal menunjukkan bukti vaksinasi ketika pemeriksaan dilakukan, dua hari lalu.

“Setakat ini hanya satu (kompaun) dikeluarkan, namun pihak berkuasa tempatan (PBT) lain ada keluarkan kompaun tetapi saya tidak pasti berapa yang mereka telah keluarkan. 

“Pendekatan polis masih sama, kita jarang mengeluarkan kompaun tetapi di Pulau Tioman itu kita keluarkan kerana ia membabitkan kesalahan yang sangat terlampau… macam mana boleh lepas ke Pulau Tioman tanpa sijil vaksin,” katanya. 

Sementara itu, katanya, polis mengambil pendekatan memberi nasihat terlebih dahulu sebelum bertindak mengeluarkan sebarang kompaun.

“Kita (polis) tidak boleh menghalang orang ramai untuk mengunjungi kawasan tumpuan pelancongan. Mereka mempunyai hak dan paling penting semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan aspek pematuhan SOP diberi keutamaan sepanjang masa.

“Justeru itu, masyarakat di negeri ini harap terus mematuhi SOP ditetapkan dan sentiasa mengambil langkah berwaspada, terutama ketika jumlah kes positif Covid-19 yang semakin meningkat ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN