KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini berjaya mendapatkan perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) daripada Mahkamah Tinggi di sini yang memerintahkan portal Agenda Daily untuk memadamkan artikel yang didakwa memfitnahnya.
Selain itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera turut memperolehi perintah menghalang pemilik portal berkenaan Muhamad Izwan Mohd. Zubit, 37, atau mana-mana ejennya untuk mengulangi atau menyiarkan semula artikel atau kenyataan berbaur fitnah mengenai Perdana Menteri.
Perintah injunksi itu diperoleh Ismail selaku plaintif dalam kes saman fitnah terhadap Muhamad Izwan yang dinamakan sebagai defendan dan difailkan semalam (17 Februari 2022). Sesalinan dokumen tersebut termasuk perintah injunksi itu diperoleh media petang tadi.
Menurut peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail ketika dihubungi media berkata perintah itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Evrol Mariette Peters.
Menurut penyataan tuntutan, pada 30 Januari lalu, defendan telah menerbitkan satu artikel bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan” yang dikatakan berbaur fitnah.
Artikel terbabit juga telah diterbitkan semula dalam laman sesawang ‘The MalaysiaLife’ yang boleh diakses oleh orang awam.
Ismail dalam penyataan tuntutannya menyatakan, artikel terbabit antara lain menggambarkan dirinya sebagai seorang yang tidak jujur dan terdesak untuk kekal menjadi Perdana Menteri dalam apa juga cara.
Selain itu, artikel tersebut turut menggambarkan Ismail sebagai seorang yang mementingkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri berbanding kepentingan Malaysia dan rakyatnya dan parti politik UMNO.
Artikel itu juga didakwa dibuat dengan niat jahat bagi menjatuhkan reputasinya sebagai Perdana Menteri dan ahli UMNO.
Pada 3 Februari lalu, peguam mewakili Ismail telah menghantar surat tuntutan memohon defendan untuk memadamkan artikel tersebut dan memohon maaf. Namun permohonan tersebut sehingga hari ini masih belum dilaksanakan.
Oleh itu, Ismail memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman sesawang dan media sosial kendalian Muhamad Izwan.
Plaintif turut memohon satu perintah mahkamah agar defendan menyerahkan dokumen bagi menunjukkan bahawa artikel terbabit telah dipadamkan dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman.
Turut dimohon ialah permohonan maaf daripada defendan dalam bentuk yang akan ditentukan oleh plaintif yang akan diterbitkan dalam laman sesawang dan di 21 akhbar tempatan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman.
Ismail turut menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah, faedah sebanyak lima peratus dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – UTUSAN