Perangkap maut, 3,017 premis termasuk hospital tiada Sijil Bomba

Perangkap maut, 3,017 premis termasuk hospital tiada Sijil Perakuan Bomba

MOHAMMAD HAMDAN WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejumlah 3,017 premis seluruh negara termasuk 75 hospital dan pusat rawatan bagaikan menjadi perangkap maut kerana tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC).

Situasi itu berlaku selepas bangunan terlibat didapati me­la­kukan pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi selain gagal memastikan premis mempunyai peralatan perlin­dungan kebakaran.

Malah, ada antara premis yang menukar operasi sehingga menyebabkan struktur pembinaan tidak sesuai digunakan sekali gus boleh membahayakan penghuninya.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, sehingga Januari lalu, sebanyak 8,200 premis ditetapkan dikenal pasti perlu mempunyai FC.

Kata beliau, hanya kira-kira 65 peratus daripadanya iaitu 5,240 premis mematuhi peraturan kebombaan tersebut.

Menurutnya, sebanyak 35 peratus yang terdiri daripada 367 bangunan kerajaan dan 2,650 premis swasta belum memperbaharui FC atas alasan-alasan tertentu.

Kata beliau, jumlah itu melibatkan kilang (1,029 premis), hotel (628 premis), pejabat (490 premis), storan am (298 premis), kedai (338 premis), asrama (75 premis), hospital dan pusat rawatan (75 premis), tempat perhimpunan (81 premis) dan perpustakaan (29 premis).

Pengubahsuaian

“Kesemua bangunan ini dalam tindakan malah tempoh tertentu telah diberikan bagi mereka mendapatkan FC.

“Antara alasan diberikan kerana pengubahsuaian yang dilakukan pemilik sehinggakan mereka belum memperbaharui FC. Malah ada antaranya yang didaftarkan bagi sesuatu operasi namun menukar kegunaan contohnya seperti kilang-kilang.

“Ini tidak termasuk kilang haram yang di luar pengetahuan kita dan sudah tentu tidak mempunyai tahap keselamatan kebombaan sehingga terdedah kepada risiko bahaya. Tidak mustahil ini berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan berkata, selain pengubahsuaian, pandemik Covid-19 yang melanda sejak tahun 2020 turut menjadi punca premis-premis tersebut gagal mendapatkan FC.

Jelasnya, terdapat premis-premis termasuk hotel yang dikenal pasti tidak lagi beroperasi akibat ditutup dan dijual malah ada yang menggantung sementara pengoperasiannya.

“Begitu juga dengan hospital dan pusat rawatan yang kebanyakannya milik kerajaan. Kebanyakannya sukar mendapatkan FC kerana hospital-hospital tersebut dibina sebelum Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL 1984) dikuat kuasa.

“Bagaimanapun, sejak insiden kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 2016, sebuah petugas khas ditubuhkan Kementerian Kesihatan  (KKM) dengan beberapa agensi ditubuhkan. Ini termasuk bomba bagi menangani situasi kecemasan kebakaran terhadap pegawai-pegawai perubatan dari mengawal keadaan sehinggalah ke proses evakuasi.

“Selain itu, kebanyakan hospital kerajaan kini dalam proses menaik taraf dan penambahbaikan sekali gus dapat mempertingkat aspek keselamatan dan memiliki sijil FC,” ujar beliau.

Pemeriksaan berkala

Mohammad Hamdan berkata, walaupun tempoh tertentu diberikan terhadap pemilik premis tersebut. Pihaknya tidak memandang ringan terhadap aspek keselamatan malah pemeriksaan berkala turut dilakukan terhadap bangunan-bangunan tersebut.

Ujarnya, ini juga bagi memastikan 90 peratus atau kira-kira 7,400 bangunan-bangunan di seluruh negara mempunyai FC ditetapkan mencapai sasaran.

Bagaimanapun, jelas beliau, FC hanya tertakluk kepada bangunan yang besar dan berkapasiti ramai malah bukan semua premis memerlukan sijil FC.

“Ini termasuk kediaman-kediaman persendirian atau taska kerana ia tertakluk di bawah UBBL 1984. Bagaimanapun, jika ia dibina di atas bangunan komersil seperti pusat beli-belah atau bangunan lain, pemilik perlu memastikan sama ada premis itu mempunyai FC dan selamat untuk diduduki,” katanya lagi.

Tambahnya, sebanyak 244 pemilik premis telah diambil tindakan selepas didapati melanggar Akta 341 . Ia melibatkan seksyen 10 (Menghapuskan Bahaya Kebakaran) dan Seksyen 33 (Perakuan Bomba) dalam tempoh tiga tahun sejak 2019 hingga tahun lalu. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×