Peniaga kenakan syarat beli minyak masak peket ditahan

Peniaga kenakan syarat beli minyak masak peket ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang peniaga kedai runcit ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kulim selepas dikesan mengenakan syarat kepada pelanggan yang ingin membeli minyak masak peket bersubsidi di Taman Kenari, di sini, semalam.

Dalam serbuan pada pukul 10.30 pagi, peniaga berusia 50-an itu didapati mengenakan syarat pelanggan perlu membeli barangan lain seperti tepung gandum, gula atau sardin sebelum dapat membeli minyak masak peket satu kilogram.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP cawangan Kulim, Mohd. Fazly Edros berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai tindakan pemilik kedai runcit itu yang didakwa mengenakan syarat tersebut.

Katanya, hasil maklumat itu, anggotanya membuat penyamaran ketika melakukan pemeriksaan di kedai runcit itu bagi mengesahkan aduan orang ramai.

“Seorang anggota kita menyamar sebagai pelanggan  bagi mengetahui  apakah  peniaga terbabit mengenakan syarat kepada pengguna  yang  ingin membeli minyak masak  peket  sekilogram.

“Hasil  penyamaran mendapati  pemilik  premis mengenakan syarat pelanggan  perlu  membeli barang keperluan lain seperti gula , tepung  gandum atau sardin terlebih dahulu  sebelum dapat dijual minyak masak peket dalam simpanannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mohd. Fazly berkata, anggotanya kemudian melakukan serbuan di kedai runcit itu dan menerangkan mengenai kesalahan sekiranya  pemegang lesen runcit (CSA) barang  kawalan mengenakan syarat belian sebelum barang kawalan itu dapat dijual kepada pengguna. 

Jelasnya, peniaga  itu disoal siasat dan ditahan  untuk siasatan lanjut dan hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 70 kilogram minyak  masak peket disimpan dalam premis tersebut.

Ujarnya, peniaga terbabit mengaku  mengenakan syarat belian barang keperluan lain sebelum menjual minyak masak peket  kerana terlalu ramai pelanggan ingin membeli minyak masak tersebut dengan kuantiti  banyak.

“Alasannya, ada di antara pelanggan yang  sama berulang kali datang dan hanya  membeli  minyak  masak peket sahaja,” ujarnya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 19, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana  mengenakan syarat tidak sah dalam  penjualan barangan kawalan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya