PETALING JAYA: Pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang bukan tanda kes penularan berada pada tahap serius.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pembukaan pusat kuarantin berkenaan sebaliknya bertujuan menjaga kapasiti katil bagi kegunaan pesakit bukan Covid-19 di hospital.
Katanya, berdasarkan kes sebelum ini, pihak hospital mendapati ada pesakit dikesan dijangkiti virus terbabit tanpa simptom ketika ingin mendapatkan rawatan penyakit selain Covid-19 di sesebuah hospital.
“Pesakit hanya dapat tahu dijangkiti Covid-19 ketika mahu mendapatkan rawatan di hospital tanpa ada sebarang simptom. Ini sudah semestinya memerlukan pengurusan katil kerana dia perlu diasingkan terlebih dahulu di wad.
“Justeru, kalau boleh kita mahu dia diasingkan terlebih dahulu dan dalam masa yang sama hospital mempunyai fleksibiliti untuk rawatan penyakit lain. Kita mahu jaga kapasiti hospital dan pembukaan Maeps bukan tanda lampu merah, kes di negara ini,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu Khairy berkata, beliau telah mengarahkan agar semua kes-kes rawatan tertunda akibat peningkatan virus Covid-19 tahun lalu diselesaikan tahun ini.
“Walaupun berdepan dengan Covid-19 kita perlu rawat penyakit lain dan beberapa prosedur hospital seperti pembedahan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE-










