KANGAR : Pemain-pemain utama industri dijemput terlibat sama dalam pelbagai sektor perindustrian di Perlis termasuk pembangunan di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di Padang Besar.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kemajuan sektor perindustrian akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu kepada rakyat bagi menjana sumber pendapatan dan sekali gus meningkatkan taraf ekonomi.
“Semua pihak juga diseru agar terus bersama-sama menyumbangkan idea membina dan kepakaran tenaga untuk Perlis melalui pelbagai platform rasmi sedia ada demi pembangunan negeri ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21,000 kepada 30 orang asnaf dalam kalangan kariah Masjid As Sakinah Padang Melangit di sini hari ini.
Para asnaf masing-masing menerima RM700 yang diagihkan oleh amilnya, Asnan Senawi.
Mengiringi baginda, Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Alhabshe.
Hadir sama ialah barisan kepimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diketuai Ketua Pengarah, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran.
Turut serta dalam program tersebut, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Mohd Salahuddin Mohamed. – UTUSAN