Pegawai perubatan, guru tertipu pembelian dalam talian - Utusan Malaysia

Pegawai perubatan, guru tertipu pembelian dalam talian

pelajar
HOO CHANG HOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Hasrat dua individu yang masing-masing mahu membeli aksesori basikal dan dua ekor anjing lebur selepas mereka ditipu menerusi pembelian secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kedua-dua mangsa terbabit berurusan dengan suspek berbeza melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, mangsa pertama seorang lelaki berusia 32 tahun dan bertugas sebagai pegawai perubatan telah menghubungi suspek selepas melihat iklan di Facebook pada 21 Februari lalu.

“Mangsa berminat untuk membeli aksesori basikal berjenama Garmin Edge 830 yang berharga RM1,020. Mangsa kemudian diminta membuat pembayaran ke akaun bank milik seorang lelaki atas nama, Mohd. Izzatul Iqmal Yakup.

“Selepas bayaran dibuat, suspek berjanji akan menghantar barang ke alamat yang telah diberikan namun tiada sebarang penghantaran dilakukan dan nombor telefon mangsa juga telah disekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang wanita berusia 47 tahun yang merupakan seorang guru pula kerugian RM2,700 selepas terlibat urusan jual beli dua ekor haiwan peliharaan iaitu anjing jenis Tea Cup Pomperian Puppy.

“Pada 18 Februari, mangsa memasukkan sebanyak RM2,700 ke dalam akaun dan kemudian suspek memaklumkan akan menghantar anjing tersebut melalui perkhidmatan Pet Taxi sejurus selepas pembayaran dilakukan.

“Bagaimanapun, tiada sebarang penghantaran malah suspek juga meminta tambahan wang untuk pelbagai lagi urusan. Berasa tertipu, pengadu kemudiannya membuat laporan polis,” katanya.

Kedua-dua kes dilaporkan di Balai Polis Bahau dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN