PH perlu berpegang teguh pada manifesto iktiraf UEC

PH perlu berpegang teguh pada manifesto iktiraf UEC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Pakatan Harapan (PH) berpegang teguh kepada komitmen asal dalam manifesto untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY berkata, pengiktirafan UEC adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan mereka menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan usaha mengiktiraf peperiksaan yang ditawarkan oleh sekolah persendirian cina.

Menurutnya, persefahaman awal sudah dicapai iaitu pengiktirafan UEC perlu dilaksanakan bersama dengan usaha untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa kebangsaan sebagai prasyarat utama.

“Maka sesiapa pihak khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta mana-mana wakil rakyat Kerajaan Perpaduan sewajarnya menyuarakan pandangan berdasarkan fakta, bukannya menyebarkan maklumat yang tidak tepat dengan mengikut rentak pembangkang.

“DAPSY dengan tegas menyokong pendirian Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa pengiktirafan UEC adalah selari dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang tuntutan termasuk untuk mengiktiraf UEC tidak boleh meminggirkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Perdana Menteri berkata, mana-mana tuntutan itu tidak boleh dibincangkan secara terpisah daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan dan asas Bahasa Kebangsaan.

Menurut DAPSY, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan malah turut menjamin hak rakyat untuk menggunakan bahasa ibunda serta meletakkan asas kepada kewujudan dan perkembangan sistem pendidikan pelbagai aliran.

“Maka, ini turut menjadi asas perundangan yang membolehkan Sekolah Persendirian Cina beroperasi secara sah selepas mencapai kemerdekaan.

Walaupun sekolah tersebut menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama, kurikulum Sekolah Persendirian Cina turut merangkumi subjek Bahasa Melayu.

“Malah, Dong Zong memandang secara positif tentang cadangan untuk menjadikan kewajipan memperoleh kelulusan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) sebagai syarat tambahan bagi pengiktirafan UEC,” katanya.

Sementara itu, DAPSY berkata, penerimaan sijil UEC merupakan pengiktirafan dan keseragaman akademik, bukan usaha untuk menukarkan status sekolah persendirian kepada sekolah kerajaan.

Katanya, tahap akademik yang cemerlang dan pengiktirafan antarabangsa sijil UEC adalah hakikat dan tidak boleh dipertikaikan.

“Selama ini, sijil UEC telah melahirkan ramai bakat cemerlang untuk negara, dan graduannya diterima oleh universiti terkemuka di seluruh dunia.

“DAPSY menggesa semua pihak untuk menilai sijil UEC berdasarkan piawaian akademik, serta mengiktirafnya sebagai aset penting dalam sistem pendidikan pelbagai aliran negara,” katanya.

Tambahnya, pengiktirafan UEC akan membantu negara mengekalkan lebih ramai bakat tempatan yang berdaya saing demi pembangunan dan negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN