MACHANG: FELCRA Berhad menegaskan perolehan pajakan ladang sawit di Sabah dan Kelantan bernilai RM241.76 juta itu dilakukan mengikut prosedur serta mendapat kelulusan dari Ahli Lembaga Pengarah agensi itu.
Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pelaburan bersifat jangka sederhana dan panjang itu menggunakan belanja modal milik FELCRA Berhad serta tidak melibatkan pembiayaan dari mana-mana syarikat kewangan mahupun kerajaan.
Katanya, harga perolehan itu dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) salah satu agensi disahkan kerajaan.
“Nilai yang perolehan itu telah rendah berbanding harga semasa sebagaimana penilaian dibuat oleh JPPH. Ladang-ladang yang dibeli ini memerlukan pemulihan terlebih dahulu. FELCRA Berhad boleh beli ladang-ladang mampu memberikan keuntungan segera, tetapi harganya mahal.
“Namun kita (FELCRA Berhad) terkenal dan terbukti sebagai sebuah agensi yang mempunyai kepakaran dalam memulihkan ladang-ladang. Ia selaras dengan tujuan penubuhan FELCRA Berhad,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampung Angkat Madani di bawah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di sini hari ini.
Ahmad Jazlan memberitahu, pembelian ladang berkenaan adalah sebahagian daripada keputusan penambahan aset yang telah dipersetujui oleh Lembaga Pengarah FELCRA Berhad pada 2022.
Katanya, langkah itu bagi memastikan kelangsungan syarikat dalam jangka masa panjang.
“Kali terakhir FELCRA membuat peralihan atau pembelian ladang adalah sekitar 2012 dan 2013, sebelum transformasi baharu dipersetujui dengan sasaran penambahan sehingga 50,000 hektar ladang,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, beliau akan mengadakan pembentangan khas akan diadakan pada Januari ini bagi memberi penjelasan terperinci berhubung isu tersebut.
Katanya, ia bertujuan menjawab segala persoalan serta keraguan yang dibangkitkan beberapa ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara kebelakangan ini.
“Saya akan menghantar surat rasmi dan menjemput ahli-ahli Parlimen yang membahaskan serta membangkitkan perkara ini di Parlimen. Saya tahu siapa mereka dan terpulang kepada mereka untuk hadir atau tidak, tetapi jemputan rasmi akan dibuat
“Saya telah dipanggil untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 27 Oktober lalu dan berpendapat jawatankuasa berkenaan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan,” ujarnya.
Sebelum ini, pada 5 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan berhubung kelemahan tadbir urus dalam perolehan pajakan ladang sawit di Sabah dan Kelantan bernilai RM241.76 juta membabitkan FELCRA Berhad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada SPRM, agensi itu telah mengambil maklum Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025.-UTUSAN










