PETALING JAYA: Skuad hoki negara menamatkan saingan Kumpulan A Piala Negara-Negara di tempat ketiga selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 di Cape Town, Afrika Selatan, semalam.
Malaysia memperoleh gol pertama seawal minit kelima menerusi gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook sebelum Lee Gangsan menyamakan kedudukan 15 minit kemudian.
Gol kemenangan Speedy Tigers dijaringkan oleh Shello Silverius pada minit ke-58 dan selepas ini Malaysia dijadual bertemu Amerika Syarikat (AS) bagi aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan esok.
Mengulas lanjut, kapten negara, Muhammad Marhan Mohd Jalil mengakui berasa gembira apabila akhirnya mereka berjaya mencatat kemenangan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.
“Pemain berikan yang terbaik untuk bertemu Korea Selatan. Kami berasa teruja untuk bertemu AS dan diharapkan pasukan dapat meneruskan rentak kemenangan seperti mana yang kami lakukan pada hari ini,” katanya.
Terdahulu, Malaysia membuka kempen dengan kemenangan 5-2 ke atas Scotland sebelum dibelasah 4-1 oleh Jepun dan 5-1 kepada New Zealand. – UTUSAN










