SHAH ALAM: Pas Shah Alam dan lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam tampil membuat laporan polis ke atas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy yang mengeluarkan kenyataan yang didakwa mereka berunsur perkauman mengenai isu anak-anak Loh Siew Hong.
Laporan itu dibuat Yang Dipertuanya, Dr. Mohd. Fuad Mohd. Salleh di Balai Polis Seksyen 6 di sini, kira-kira pukul 3 petang tadi.
Beliau berkata, pihaknya merujuk kenyataan yang dikeluarkan Ramasamy menerusi sebuah portal berita berkaitan keperluan siasatan kes tukar agama anak di Perlis itu.
“Menurut laporan itu, beliau (Ramasamy) menyatakan ‘jika anak Loh Siew Hong diculik, masuk Islam dan diletakkan di bawah jagaan pihak berkuasa agama, ini lebih kurang sama seperti menculik’. Selain itu, beliau menyatakan ‘pihak berkuasa agama Islam Perlis secara terang melanggar undang-undang dan melangkaui peranan dengan mengambil alih kehidupan kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika ditemui petang tadi.
Jelas beliau, kenyataan itu disifatkan sebagai menyalakan api sensitiviti agama dan perkauman.
“Ia dianggap fitnah atau tuduhan yang tidak tepat dan melampau kepada pihak berkuasa agama Perlis.,Perkara itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd. Fuad meminta polis menjalankan siasatan lanjut ke atas Ramasamy bagi mengelak berlaku rusuhan kaum atau agama di negara ini. – UTUSAN










