SUNGAI PETANI: Tapak bekas kilang Perwaja Steel di Gurun dekat sini yang pernah gah sebagai syarikat konglomerat suatu masa dahulu kini bukan sahaja terbiar malah penduduk mendakwa terdapat kegiatan yang mencuriga dijalankan di lokasi itu .
Di sekeliling pagar dalam kawasan seluas kira-kira 200 hektar itu dipenuhi dengan semak-samun manakala beberapa bangunan kilang yang terletak tidak jauh dari Jalan Gurun-Sungai Petani pula kelihatan usang.
Bagaimanapun, agak menghairankan apabila banyak kelibat kenderaan berat termasuk treler sarat membawa muatan bahan logam keluar masuk menggunakan dua pintu utama kilang tersebut yang turut dikawal rapi selain dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Penduduk yang tinggal berdekatan mendakwa mereka sering mendengar bunyi mesin dan jentera yang beroperasi pada waktu-waktu tertentu.
Selain itu, terdapat beberapa laluan tikus di sekitar pagar kilang tersebut yang dipercayai digunakan pekerja pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk meloloskan diri sekiranya terdapat operasi pihak berkuasa.
Dalam pada itu, pemantauan mendapati kilang berkenaan rancak beroperasi dengan kehadiran pekerja dan kenderaan.
Bagaimanapun, aktiviti bekas tapak kilang peleburan logam itu menjadi tanda tanya mengenai statusnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia (KPPUM), Zamil Ibrahim berkata, dia difahamkan terdapat tiga hingga empat kilang kitar semula beroperasi di kawasan kilang tersebut.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada kilang itu beroperasi secara halal atau haram kerana cuba disembunyikan oleh pihak kerajaan tempatan.
Katanya, awal tahun lalu, dia dimaklumkan kilang berkenaan yang mempunyai rangkaian perniagaan di luar negara masih berstatus haram kerana tidak mendapat kelulusan majlis kerajaan tempatan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Saya dimaklumkan oleh beberapa sumber yang rapat dengan operasi kilang itu mengatakan pihak pemilik kilang terbabit yang gagal membayar tunggakan cukai tanah sebelum ini telah membuat bayaran tersebut bernilai juta ringgit.
“Sehubungan itu, saya mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md. Nor supaya mendedahkan status kilang-kilang tersebut dengan segera.
“Langkah tersebut untuk mengelakkan rakyat di negeri ini terus tertanya-tanya status sebenar kilang terbabit,” katanya.
Kilang Perwaja Steel di Gurun yang dibuka pada 1993 ditutup sepenuhnya pada 2002 akibat masalah kewangan.
Dalam masa sama, Zamil berkata, pihak JAS juga perlu menjelaskan sama ada kilang berkenaan beroperasi selepas mendapatkan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA).
Ini kerana, katanya, penduduk yang tinggal di taman perumahan berdekatan mendakwa mereka sering terhidu asap dipercayai dari kilang terbabit.
“Saya difahamkan beberapa penduduk turut mengadu sering tidak sihat seperti sakit dada dipercayai akibat terhidu asap logam itu,” ujarnya.
Selain itu, Zamil berkata, maklumat yang diperoleh mendedahkan terdapat ratusan PATI yang bekerja di kilang-kilang tersebut tanpa tindakan daripada Jabatan Imigresen.
Katanya, kebanyakan pekerja di kilang itu membabitkan pekerja warganegara Bangladesh.
“Kawasan tapak kilang tersebut didapati ‘kebal’ apabila kawasan itu jarang dilakukan pemeriksaan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 52, memberitahu, persekitaran taman perumahan ini kebiasaannya berbau busuk dipercayai dari kilang tersebut pada waktu malam.
Bagaimanapun, katanya, bau busuk tersebut tidak selalu berlaku, sebaliknya pada hari-hari tertentu sahaja. -UTUSAN










