Mencabar, tetapi masih boleh diatasi - Hani Nosha - Utusan Malaysia

Mencabar, tetapi masih boleh diatasi – Hani Nosha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bekerja sebagai penggiat seni dan pada masa sama melanjutkan pelajaran bukanlah satu perkara mudah untuk dilakukan oleh semua orang.

Namun begitu, Hani Nosha tetap memilih untuk memperjuangkan kariernya sebagai seorang penyanyi yang baru menapak dalam industri dan pelajar di Management and Science University (MSU).

Memilih untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang Perhubungan Awam, Hani Suraya Amir Shariffuddin, 23, tidak menafikan turut menghadapi cabaran dalam membahagikan masa untuk kerjaya dan belajar.

“Bekerja sambil belajar memang susah kerana perlu menguruskan masa dengan baik. Kekangan masa adalah cabaran terbesar buat saya memandangkan saya pelajar sepenuh masa.

“Tetapi Alhamdulillah, semua dapat diuruskan dengan baik. Kebanyakan kerja menyanyi akan ada pada Sabtu dan Ahad.

“Kalau perlu kerja waktu hari biasa, saya akan cari hari yang paling tidak banyak kelas untuk melakukannya. Buat masa ini, itulah rutin Hani sehingga tamat belajar,” jelasnya.

Hani memberitahu, dia memilih bidang perhubungan awam kerana ia boleh membantu dirinya untuk meluaskan lagi kenalan dan meningkatkan hubungan dengan orang ramai sekali gus dapat memberi impak kepada kerjaya dan impiannya untuk menjadi penyanyi profesional.

Hani mula berjinak-jinak dalam dunia nyanyian seawal usia 15 tahun dan banyak melibatkan diri dengan persembahan awam busking di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Pada 2020, Hani menyertai rancangan permainan muzik misteri, I Can See Your Voice musim tiga. Pada 2021 pula, Hani tampil dalam rancangan realiti All Together Now. Setakat ini, Hani Nosha mengeluarkan beberapa lagu termasuk Erti Aidilfitri, Kita dan yang terbaharu, Pedih.

Bercakap mengenai lagu terbaharunya itu, Hani berkata, ia mengisahkan tentang seorang wanita yang ditinggalkan oleh pasangan lelakinya tanpa sebarang penjelasan.

“Lagu Pedih dilancarkan pada 29 Oktober tahun lalu. Ia ditulis oleh Achah Saputra dan dikompos oleh Zul Norizan.

“Pedih juga pernah tercalon dan tersenarai dalam beberapa carta dan senarai main radio serta platform digital, Spotify.

“Lagu tersebut pernah memasuki carta Lagu Baru Nak Up oleh Radio ERA pada 10 November lalu. Spotify pula mencalonkan lagu ini dalam beberapa senarai seperti Pop Terkini, Women of Malaysia, Pop Balada dan Bakat Segar.

“Ia adalah satu rezeki dan saya sangat bersyukur dengan pencapaian itu,” jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Di masa depan, Hani berhasrat untuk menawarkan dan mempersembahkan lebih banyak karya yang berkualiti dan berharap para pendengar dapat menerimanya dengan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.