BESUT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) peniaga dari Bachok, Kelantan yang terjunam dalam Sungai Keluang Besar di sini semalam berakhir apabila mayatnya ditemukan tersangkut pada pukat, petang tadi.
Mayat Shukri Wahab, 52, ditemukan oleh nelayan kira-kira enam kilometer dari lokasi kemalangan di Jambatan Tembila pada pukul 6.09 petang.
Difahamkan pukat itu dipasang seorang nelayan tempatan pagi ini bagi membantu operasi SAR pihak berkuasa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, pihaknya menggunakan bot untuk membawa mayat mangsa ke tebing sungai.
“Mayat Shukri kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, Shukri bersama isterinya, Azizah Mohamad Yusof, 51, terjunam ke dalam sungai selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka kemalangan di Jambatan Tembila.
Azizah bagaimanapun terselamat apabila sempat berpaut pada sebatang pokok di tebing sungai manakala kenderaan Toyota Hilux suami isteri itu ditemukan dan dinaikan dengan menggunakan kren pada pukul 6.25 petang, hari sama.
Kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu untuk mengambil stok keropok sambil menjemput sanak saudara untuk menghadiri kenduri perkahwinan anak sulung mereka pada 5 Mac depan. – UTUSAN










