fbpx

Mangsa tumbuk, tendang harap anak tiri dipenjara, masuk wad psikiatri

SALMIAH Man menunjukkan kesan kecederaan pada telinga Nordin Ahmad akibat ditumbuk dan ditendang anaknya semasa ditemui di rumah mereka di Kampung Ruat,Yan di sini semalam.

YAN: Mangsa yang ditumbuk dan ditendang oleh anak tirinya sehingga cedera dalam kejadian di Kampung Ruat di sini semalam berharap lelaki itu dipenjara dan dimasukkan ke wad psikiatri.

Dalam kejadian pada pukul 7 pagi semalam, individu berusia 29 tahun mengamuk selepas bapa tirinya, Nordin Ahmad, 71, enggan memberikannya wang.

Menurut Nordin, anak lelaki tunggal isterinya, Salmiah Man, 50, kini sukar dikawal dan akan mengamuk setiap kali mereka enggan menuruti kemahuannya.

“Saya juga mahu dia diberikan rawatan di wad psikiatri kerana tahap mentalnya semakin teruk sejak terlibat dengan dadah dan kegiatan menghidu gam beberapa tahun lalu.

“Sebelum ini kami telah melakukan pelbagai cara untuk mengawalnya termasuk membuat laporan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan melaporkan kepada pihak polis sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Sementara itu, isterinya, Salmiah berkata, dia tidak menyangka anaknya itu akan bertindak agresif dengan menumbuk dan menendang bapa tirinya.

“Dalam kejadian itu, dia minta wang sebanyak RM50 untuk beli dadah selain meminta suami saya menghantarnya ke Hospital Yan untuk mengambil ubat penyakit mental dialaminya.

“Disebabkan suami enggan memenuhi kedua-dua permintaannya itu, dia mula mengamuk dan mencederakan suami saya sebelum melarikan diri,” jelasnya.

Katanya, anak lelakinya itu mula mengalami tekanan perasaan pada 2014 dan dia tinggal di rumah bekas suaminya suaminya di kampung sama.

“Setiap hari dia akan datang makan di sini selain meminta wang untuk kegunaan hariannya dan pulang bermalam di rumah yang didudukinya seorang diri,” katanya.

Salmiah bagaimanapun bersyukur kerana suaminya tidak bertindak balas semasa kejadian itu bagi mengelak anaknya menjadi lebih marah.

“Kecederaan suami terutama di bahagian telinga dan dada semakin pulih selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Yan semalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, keputusan saringan urin lelaki tersebut didapati negatif dadah.

“Dia direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 18 Februari dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN