Lelaki tumbuk, tendang bapa tiri selepas gagal dapat wang beli dadah - Utusan Malaysia

Lelaki tumbuk, tendang bapa tiri selepas gagal dapat wang beli dadah

TANGKAP layar daripada video menunjukkan seorang lelaki menendang bapa tirinya selepas gagal mendapatkan wang di Kampung Ruat, Yan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seorang lelaki tergamak menumbuk dan menendang bapa tirinya selepas tidak diberikan wang untuk membeli bekalan dadah dalam kejadian di Kampung Ruat di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa berusia 71 tahun yang tinggal bersama anak tirinya yang berusia 29 tahun itu dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan di dada, muka dan telinga.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, ketika kejadian, mangsa bersama isterinya berada di dalam rumah apabila suspek mengamuk kerana permintaannya mendapatkan duit untuk membeli dadah tidak dipenuhi.

Katanya, suspek yang merupakan seorang penganggur dan pesakit mental bertindak menumbuk kepala dan menendang muka bapa tirinya itu.

“Bagi mengelakkan kejadian lebih teruk pasangan suami isteri itu keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun suspek yang masih tidak berpuas hati kerana gagal mendapat wang terus menendang bapa tirinya sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahnaz, hasil siasatan awal mendapati mangsa sebelum ini sering dipukul anak tirinya yang merupakan penagih tegar jika permintaannya untuk mendapatkan wang tidak ditunaikan.

Tambahnya, sebaik sahaja laporan polis dibuat, pihaknya menggerakkan sepasukan pegawai dan anggota mengesan suspek.

“Polis berjaya menahan suspek di Kampung Lubok Boi yang terletak lebih kurang lima kilometer dari tempat kejadian pada pukul 6.45 petang,” jelasnya.

Katanya, lelaki itu ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya