Mangsa tragedi kepala air di Gunung Jerai meninggal dunia - Utusan Malaysia

Mangsa tragedi kepala air di Gunung Jerai meninggal dunia

MOHD. Muaz Idris menunjukkan gambar bapa mentuanya, Abdullah Morad yang meninggal dunia di Taman Murni, Seberang Jalan Putra, Alor setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Mangsa tragedi kepala air, Abdullah Morad yang terselamat semasa tragedi kepala air di Gunung Jerai, Yan pada 18 Ogos tahun lalu meninggal dunia di rumahnya di Taman Murni, Seberang Jalan Putra di sini hari ini.

Tahap kesihatan Abdullah, 57, yang juga Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Perlis dilaporkan semakin merosot selepas cecair di paru-parunya dikeluarkan baru-baru ini sebelum meninggal dunia pada pukul 3.30 pagi.

Menurut menantunya, Mohd. Muaz Idris, 32, selepas terselamat dalam tragedi itu, arwah bapa mentuanya mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di sini dan doktor mengesahkan paru-parunya terdapat cecair dan perlu dikeluarkan.

“Selepas cecair itu dikeluarkan, kesihatan arwah bapa mentua semakin merosot dan luka di paru-paru semakin merebak. Oleh kerana kesihatannya semakin tenat, kami membawanya pulang ke rumah dengan bergantung kepada bantuan sistem pernafasan hinggalah dia menghembuskan nafas terakhir pada pagi ini,” katanya ketika ditemui di Taman Murni, Seberang Jalan Putra di sini hari ini.

Selain itu, Mohd. Muaz memberitahu, keadaan fizikal arwah bapa mentuanya juga tidak begitu sihat kerana salah satu urat kaki kirinya telah putus.

Katanya, keadaan tersebut menyebabkan arwah menghadapi masalah untuk berdiri dan meminta pertolongan untuk berdiri dan berjalan.

“Ini menyebabkan kami sekeluarga sentiasa memantau pergerakannya kerana bimbang jika perkara tidak diingini berlaku. Malah arwah turut mengalami trauma selepas terselamat dalam tragedi kepala air itu terutamanya ketika mendengar bunyi guruh dan hujan. Jenazah arwah bapa mentua saya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Masjid Gunung Sali di sini selepas solat Jumaat. Arwah meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak serta seorang cucu,” katanya.

Pada 18 Ogos tahun lalu, Abdullah dan abangnya, Zainol Morad dihanyutkan arus deras dalam tragedi kepala air ketika mereka berada di sebuah rumah di kawasan dusun di Titi Hayun, Yan. Bagaimanapun Abdullah berjaya menyelamatkan diri manakala abangnya pula meninggal dunia di tempat kejadian. Dalam tragedi itu, seramai enam mangsa ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN