PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan Malaysia dan Thailand komited untuk terus bekerjasama rapat bagi mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak USD30 bilion (RM126 bilion) menjelang tahun 2025.
Justeru beliau dan rakan sejawatnya Prayut Chan o Cha berharap supaya Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (Joint Trade Committee – JTC) di peringkat menteri yang ketiga dapat diadakan secepat mungkin.
“Kami juga bersetuju meneroka peluang pelaburan baharu di kedua-dua pihak. Pelabur Thailand boleh meneroka sektor pelaburan baharu di Malaysia seperti ekonomi digital, ekonomi hijau dan ekonomi circular, manakala pelabur Malaysia boleh menceburi Model Ekonomi BioCircular-Green (BCG) dan sektor baharu lain seperti penyelidikan dan pembangunan vaksin, elektrik and kenderaan pintar, automasi dan robotik di Thailand.
“Mengenai keanggotaan Malaysia, Indonesia dan Thailand dalam International Rubber Council ( I T R C ) saya turut membangkitkan cadangan penawaran (supply) getah dalam negara masing-masing dikawal agar ia dapat memberi manfaat kepada negara anggota dan manfaat yang sama buat pekebun-pekebun kecil getah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail Sabri dan Prayut juga bersetuju meneruskan mekanisme dua hala yang sedia ada termasuk rundingan tahunan dan dua mesyuarat di peringkat menteri, iaitu Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Jawatankuasa Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan.
Mengulas mengenai isu serantau, Ismail Sabri berkata, beliau telah berbincang dengan Prayut mengenai situasi di Myanmar dan bersetuju bahawa adalah penting bagi ASEAN untuk terus memainkan peranan positif dan konstruktif dalam mencari solusi aman dan berkekalan demi kepentingan Myanmar dan juga komuniti ASEAN.
“Kami berkongsi pandangan yang sama bahawa adalah penting bagi Myanmar untuk bekerjasama dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara dan keperluan untuk memelihara kredibiliti dan integriti ASEAN. Kami berharap agar demokrasi akan dapat kembali di Myanmar,” ujarnya.
Ismail Sabri turut menzahirkan sokongan padu Malaysia kepada Prayut bagi mempengerusikan APEC 2022. – UTUSAN










