Kit ujian kendiri Covid-19 di Johor cukup - Utusan Malaysia

Kit ujian kendiri Covid-19 di Johor cukup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekalan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) di negeri ini mencukupi dan tidak mengalami masalah kekurangan bekalan. 

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, perkara itu disahkan hasil pemeriksaan dijalankan sejak awal bulan lalu hingga kini.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini, KPDNHEP Johor telah menjalankan sebanyak 1,986 pemeriksaan terhadap premis runcit serta borong melibatkan farmasi, kedai ubat-ubatan, dan klinik-klinik swasta yang menjual kit ujian kendiri Covid-19 di seluruh daerah di Johor. 

“KPDNHEP turut membuat pemeriksaan ke atas kawalan harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian kendiri bagi memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran.

“Hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan sejak awal tahun hingga hari ini, bekalan kit ujian pantas ini adalah mencukupi dan tiada aduan berkenaan kekurangan bekalan diterima,” katanya di sini hari ini. 

Kelmarin, akhbar melaporkan Sabah dan Johor antara ne­geri yang mengalami kekurangan bekalan kit ujian kendiri dipercayai disebabkan masalah logistik dan peningkatan kes Covid-19 harian.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang dilaporkan berkata, bekalan kit ujian tersebut berkurangan dan kerajaan serta pembekal perlu sedia maklum untuk mendapatkan bekalan mencukupi supaya ia tidak mendatangkan isu lain kemudian hari.

“Kit ujian kendiri harus mempunyai bekalan mencukupi ekoran peningkatan kes harian melebihi 11,000 menandakan kit tersebut menjadi keperluan buat masyarakat untuk mengatasi penularan varian Omicron,” ujarnya. 

Sementara itu, Mohd. Hairul Anuar berkata, KPDNHEP Johor turut menasihatkan peniaga khususnya agar mematuhi  undang-undang perniagaan ditetapkan oleh kementerian.

Tambahnya, peniaga perlu mematuhi harga yang ditetapkan berkuatkuasa mulai 5 September tahun lalu di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN