Ketum 1.2 tan ke Thailand dirampas maritim - Utusan Malaysia

Ketum 1.2 tan ke Thailand dirampas maritim

SEBAHAGIAN daripada daun ketum dipercayai cuba diseludup ke Thailand yang dirampas di muara Kuala Kedah, Alor Setar semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menghalang cubaan menyeludup  1.2 tan daun ketum bernilai RM216,000 ke Thailand melalui jalan laut di muara Kuala Kedah di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan  pihaknya yang mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas A, bergerak mencurigakan berhampiran muara Kuala Kedah.

Menurut beliau, sejurus menerima maklumat tersebut, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi di kedudukan 0.9 batu nautika, timur laut muara Kuala Kedah pada pukul 6 pagi.  

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek  menukar haluan memecut ke arah daratan berhampiran sebelum  terjun ke kawasan paya bakau.

“Pemeriksaan terhadap bot itu menemukan 120 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum dengan berat dianggarkan 1.2 tan bernilai kira-kira RM216,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, tindakan menyeludup keluar daun ketum ke Thailand dipercayai dilakukan berikutan harganya yang mahal di negara jiran.

Katanya, nilai pasaran semasa daun ketum di Thailand mencecah RM180 sekilogram berbanding cuma RM30 di pasaran tempatan.

“Semua hasil rampasan termasuk bot nelayan serta enjin yang dianggarkan bernilai RM60,000  dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah,” katanya.

Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya