JOHOR BAHRU: Kestabilan adalah kunci utama pembangunan Johor kerana kerajaan yang kukuh sahaja berupaya membuat perancangan jangka pendek dan panjang demi manfaat rakyat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, sebagai sebuah negeri terletak di kedudukan strategik dan berpotensi tinggi, segala agenda pembangunan perlu diteruskan tanpa harus dipersia-siakan walaupun sehari.
Oleh itu kata beliau, Johor harus bergerak ke hadapan dan tidak menoleh ke belakang apabila sebelum ini selama lima tahun berturut-turut sejak 2013 sehingga 2018 menerima pelaburan tertinggi dalam negeri dan seharusnya dipacu lebih.
“Saya rasa kestabilan ini tentunya adalah impian dan cita-cita semua bentuk organisasi. Kalau berpersatuan, kita hendak yang stabil dan boleh ada perancangan jangka panjang. Boleh mengolah hala tuju organisasi berkenaan.
“Apatah lagi sebuah kerajaan. Kalau kita lihat mungkin kita terlepas pandang bahawa keabsahan sesebuah kerajaan negeri itu berasas kepada majoriti mudah 29-27. Tetapi apabila kekosongan kerusi di DUN Kempas menjadikan 28-27 itu bila ketika kita bersidang ia 28-27 kerana speaker bukan datang daripada parti kerajaan.
“Maka di mana letaknya keabsahan kalau kerajaan ada 28 tetapi di pihak pembangkang ada 27 dan speaker seorang dia datang daripada parti pembangkang? Di mana kekuatan kerajaan boleh sandarkan untuk menjadikan kerajaan kukuh dan stabil?” Katanya dalam pertemuan dengan media arus perdana di sini kelmarin.
Hasni seterusnya memberi analogi kedudukan DUN seperti jantung yang sekiranya denyutan terhenti, manusia akan mati manakala jika peringkat Exco Kerajaan Negeri seperti anggota badan kalau tidak berfungsi, seseorang masih hidup lagi.
Calon BN DUN Benut itu menegaskan, kestabilan merupakan impian semua organisasi termasuklah kerajaan apabila perkara itu menjadi asas terhadap segala bentuk perancangan.
Kata beliau, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan pandemik Covid-19 menyaksikan Johor ketinggalan dan banyak perancangan dilakukan Kerajaan BN tergendala.
Katanya, kerajaan baharu selepas PRU-14 dilihat hanya mengisi masa kepada perkara yang hilang fokus dalam membangunkan Johor.
Ini termasuklah apabila kepemimpinan negeri waktu itu bertindak di kawasan sensitif iaitu sempadan perairan antara Johor dan Singapura hingga menimbulkan kebimbangan kerajaan negara jiran sehingga terhenti perjumpaan dua pemimpin negara.
“Pelan dah ada, maka kerajaan yang stabil sahaja akan berjaya melaksanakan perancangan tersebut. Kalau kerajaan tidak seimbang, kerajaan tidak menentu ini, hendak buat satu benda yang kecil pun perlu nak ada satu kekuatan lebihan, padahal Johor ini, apa saja yang tiada.
“Kerajaan sentiasa ada perancangan jangka panjang, jangka sederhana. Itu bererti bahawa pertama adanya perancangan yang tidak dapat disiapkan dalam satu penggal sebagai contoh sewaktu BN menjadi kerajaan. Banyak program baik-baik diteruskan tetapi kelangsungan terhenti atas mungkin pelbagai sebab.
“Tetapi saya boleh katakan ada program yang terhenti, maka ia perlu diteruskan dengan sekiranya secara total atau dengan membuat penyesuaian,” kata Hasni. – UTUSAN










