PUTRAJAYA: Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, merekodkan peningkatan, 332 kes berbanding kelmarin, 327 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula merekodkan penurunan iaitu 196 kes berbanding kelmarin, 201 kes.
Katanya, Malaysia mencatatkan sebanyak 30,644 kes positif menunjukkan penurunan berbanding kelmarin, 32,070 kes sekali gus mengatasi 22,678 kes sembuh.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan penurunan kepada lima kluster berbanding kelmarin, 16 kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,767 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 dengan jumlah terkini menurun kepada 498 kluster berbanding jumlah kelmarin, 510 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,269 kluster berbanding kelmarin, 6,252 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 156 kes bersamaan 0.51 peratus daripada 30,644 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 30,488 kes bersamaan 99.49 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 156 kes kategori tiga, empat dan lima, 33 kes bersamaan 21.15 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 77 kes bersamaan 49.36 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 46 kes bersamaan 29.49 peratus telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 78 kes bersamaan 50 peratus berumur 60 tahun dan ke atas; 89 kes bersamaan 57.05 peratus mempunyai komorbid dan dua kes bersamaan 1.28 peratus ibu mengandung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan meningkat sebanyak 57 kes berbanding semalam, 46 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 32,591 kes.
Bagi kes BID, sebanyak 14 daripada 57 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,660 kes. UTUSAN










