PETALING JAYA: Sebanyak 22,802 kes jangkitan baharu Covid-19 dicatat semalam, menjadikan jumlah kumulatif rakyat negara ini yang dijangkiti melepasi tiga juta orang dengan kadar kebolehjangkitan (Rt) turut meningkat 1.51.
Sehingga kelmarin, 5,512 atau 4.5 peratus pesakit menjalani rawatan di hospital dengan 155 kes di unit rawatan rapi (ICU) manakala 80 lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Peningkatan mendadak sepanjang minggu ini dengan jumlah kes lima angka selama enam hari berturut-turut berpunca daripada kemunculan gelombang baharu varian Omicron yang kali pertama melanda negara pada 3 Disember tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penularan varian Omicron turut menambah jumlah kumulatif yang meningkat kepada 3,019,163 kes, semalam.
“Daripada jumlah semalam, 104 kes atau 0.46 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima, manakala 22,698 kes atau 99.54 peratus kategori satu dan dua,” katanya semalam.
Sebelum ini, kes harian Covid-19 tertinggi pernah direkod di Malaysia ialah 24,599 kes pada 26 Ogos 2021, namun jumlah itu menurun sehingga empat angka bermula September tahun lalu, berikutan kempen agresif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Bagaimanapun, Malaysia tidak terlepas daripada terkena varian Omicron apabila kes harian semakin bertambah dan buat pertama kalinya setelah lima bulan, negara merekodkan jumlah kes lima angka, 10,089 kes pada 6 Februari lalu.
Seperti negara lain, Malaysia kini bergelut dengan kes harian baharu lima angka Covid-19 apabila enam hari berturut-turut dengan catatan tertinggi semalam melepasi 20,000 manakala sembilan negeri merekod kes empat angka.
Setakat pukul 11:59 malam kelmarin, data CovidNow Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan sebanyak 122,991 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.
Tidak tolak kemungkinan kes dijangka terus meningkat apabila kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mencatatkan 1.51 pada jangkaan mengikut kes harian jangkitan wabak kelmarin.
Bagi Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kini bukan masa sesuai jika negara mahu melonggarkan atau menamatkan sekatan Covid-19 kerana kes kategori tiga, empat dan lima masih pada tahap membimbangkan iaitu sekitar lima peratus.
Tegas beliau, sekiranya alpa terhadap prosedur operasi standard (SOP), secara tidak langsung akan meninggalkan risiko tinggi khususnya kepada warga emas yang masih banyak belum menerima suntikan dos penggalak.
“Jika makin kurang SOP dengan tinggi kes, maka makin besar kategori 3 hingga 5. Maka kena amalkan SOP lagi sehingga ramai yang disuntik dos penggalak dan capai sasaran 80 peratus,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia. – UTUSAN










