Kluster Covid-19 berkaitan sekolah mencatat peningkatan besar sejak pembukaan sesi persekolahan Januari lalu terutama akibat penularan varian baharu Omicron.
Apa yang membimbangkan kebanyakan kanak-kanak dijangkiti, tidak menunjukkan sebarang simptom. Tetapi mereka boleh dengan mudah menjangkiti virus itu kepada orang lain, termasuk mereka yang berpenyakit serius dan berisiko tinggi.
CovidNow mendedahkan, kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun merupakan 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Malangnya insiden bagi kanak-kanak ini dijangka akan meningkat lagi selepas ini.
Susulan langkah vaksinasi bagi orang dewasa dan remaja, negara memulakan program serupa bagi kanak-kanak.
Banyak negara seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jerman, Austria, Belgium, Hungary, Greece, Singapura dan Indonesia, memulakan vaksinasi untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun pada penghujung tahun lalu.
Bagaimanapun, masih ramai dalam kalangan ibu bapa bimbang mengenai keselamatan profil vaksin Pfizer-BioNTech terhadap kanak-kanak. Ini berikut dapatan kajian mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin bagi kumpulan usia berkenaan.
Pihak CDC USA, telah melakukan ujian klinikal vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech terhadap kanak-kanak. Sebanyak 3,109 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah disuntik dengan vaksin itu. Dan didapati keadaan paling teruk hanyalah berupa ringan hingga sederhana seperti demam dan sakit kepala sahaja.
Tiada keadaan buruk dan mudarat serius berkaitan vaksinasi dilaporkan berlaku.
Begitupun, CDC dikatakan menilai semula keadaan buruk selepas menerima laporan penerimaan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech. Ia dikemukakan kepada Vaccine Adverse Event Reporting System (VAERS) untuk tempoh antara 3 November hingga 19 Disember 2021.
Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 8.7 juta dos vaksin diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
VAERS menerima sebanyak 4,249 aduan, 97.6 peratus tidak mengalami kesan sampingan serius selepas divaksin.
BIMBANG MYOCARDITIS
Terdapat juga dalam kalangan ibu bapa yang melahirkan kebimbangan terhadap kes myocarditis dan pericarditis berikutan suntikan vaksin mRNA.
Myocarditis adalah keadaan serius tetapi jarang berlaku yang dikaitkan dengan vaksin Covid-19 berasaskan mRNA.
Kadar laporan bagi myocarditis berkait dengan vaksin adalah lebih tinggi dalam kalangan lelaki berusia 12-29 tahun.
Sehingga kini, myocarditis dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun kelihatannya amat jarang dengan hanya 11 kes daripada 8.7 juta.
Myocarditis sudah dilapor lama sebelum wujudnya pandemik Covid-19.
Ia boleh berlaku apabila virus seperti demam biasa, influenza atau akibat SARS-CoV-2 (virus yang menyebabkan Covid-19) menjangkiti badan.
Untungnya, kajian semasa menunjukkan myocarditis pasca berkaitan vaksin lazimnya lebih ringan berbanding myokarditis klasik yang disebabkan jangkitan viral. Dengan simptom berlaku dalam tempoh masa lebih pendek dan biasanya berakhir dengan rawatan perubatan minimum.
Di dalam ujian rambang disiarkan baru-baru ini ke atas vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak dan remaja, penyiasat melaporkan bahawa vaksin itu mencapai lebih 90 peratus pengurangan di dalam risiko dijangkiti Covid-19 bagi remaja dan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Tiada kesan buruk serius seperti myocarditis yang dipantau dalam tempoh kajian berlangsung.
Kesan ringan dilaporkan hanyalah rasa tidak selesa pada tempat suntikan, lesu dan pening kepala.
95 PERATUS POPULASI DIIMUNISASI BARU SELAMAT
Sebahagian daripada ibu bapa mempertimbangkan menarik diri daripada memberi vaksin kepada anak-anak dengan mengharapkan kepada kumpulan imuniti.
Bagaimanapun, dengan varian baharu Covid-19, kita berkemungkinan memerlukan lebih daripada 95 peratus populasi diimunisasi sepenuhnya untuk mencapai tahap perlindungan yang sama untuk imuniti kelompok.
Pada masa ini, populasi yang sudah diimunisasi, hanyalah berada di paras 79 peratus sahaja.
Imuniti kelompok juga merupakan fenomena dinamik yang bergantung kepada pergerakan kelompok.
Katakan sebuah keluarga memiliki lima orang dewasa dan satu kanak-kanak, dan semua orang dewasa itu sudah di imunisasi, maka bolehlah dikatakan bahawa keluarga tersebut sudah ada imuniti kelompok, dengan syarat keluarga itu tinggal di dalam satu rumah pada satu masa dan kanak-kanak itu tidak meluangkan masa di luar.
Jika anak itu pergi ke sekolah, majoriti populasinya adalah kanak-kanak.
Jika semua kanak-kanak yang tidak diimunisasi berkumpul di situ, tidak wujud imuniti kelompok.
Adalah bahaya untuk bergantung kepada imuniti kelompok kerana jika ramai ibu bapa memutuskan untuk tidak mengimunisasi anak mereka, maka ini akan mendatangkan bahaya besar bagi tahap umum imuniti dalam kalangan kanak-kanak.
Baru-baru ini, ramai orang yang dijangkiti varian Omicron hanya mengalami keadaan tidak sihat yang ringan, dan ini adalah hasil daripada imuniti yang didorong oleh vaksinasi.
Keadaan tidak sihat itu pastinya akan menjadi lebih serius di kalangan seluruh populasi jika kita tidak divaksinasi.
Ada yang percaya bahawa kita patut merawat Omicron seperti demam biasa tetapi kami ingin menasihatkan supaya kita tidak terburu-buru dalam hal ini. Harus terus berwaspada.
Vaksinasi adalah masih kaedah paling berkesan untuk mengelak jangkitan COVID-19 dan komplikasi lebih serius, termasuk kemungkinan mengurangkan jangkitan di rumah dan di sekolah, bagi menjaga orang yang mudah dijangkiti dan mewujudkan persekitaran pembelajaran secara bersemuka yang lebih selamat.
Tanpa vaksin Covid-19 yang berkesan bagi kumpulan usia ini, kanak-kanak boleh berpotensi menjadi takungan jangkitan dan sumber kepada varian baharu yang akan muncul nanti. Vaksinasi besar-besaran ke seluruh kumpulan usia adalah penting dalam usaha berterusan mengekang pandemik ini.
Kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun digalakkan divaksinasi bagi menentang virus Covid-19.
Namun, seandainya anak mempunyai keadaan kesihatan yang sedia ada atau mana-mana ibu bapa yang ragu-ragu, haruslah mendapatkan nasihat daripada pegawai perubatan mereka atau ahli paediatrik.
AMBIL TAHU SEBELUM VAKSIN
Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang divaksinasi dengan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 perlu dimaklumkan mengenai reaksi seumpamanya selepas vaksinasi, bermungkinan besar selepas dos kedua.
Ibu bapa seharusnya menasihatkan anak-anak untuk mengelak daripada melakukan kerja berat dua hari sebelum vaksin dan seminggu selepas vaksinasi.
Ada ibu bapa tidak mahu vaksinasi ke atas anak-anak mereka dengan harapan bergantung kepada imuniti berkelompok.
Lazimnya, imuniti berkelompok dicapai apabila 80 peratus populasi telah diimunisasi daripada jangkitan.
Tetapi tidak sama dengan Covid-19, terutama varian baharu Omicron, anggarannya adalah lebih tinggi. – UTUSAN
———-
Dr. Lim ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perubatan Taylor’s University manakala Dr. Noor Hafiza, Ketua Jabatan Paediatrik, Hospital Banting










