BAYAN LEPAS: Sekumpulan lima peniaga gerai di bahu jalan, susur masuk flat Mutiara Perdana 2 di sini meluahkan kekecewaan apabila terpaksa mengosongkan tempat perniagaan berusia hampir dua dekad lalu dengan serta-merta.
Rata-rata mereka terdiri penghuni flat berkenaan turut menyatakan kesedihan setelah menerima notis pencerobohan tanah kerajaan dari Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya pada 27 Januari lalu.
Terdapat 25 gerai kayu dibina penduduk di situ dan dikatakan hanya kurang 10 premis yang beroperasi hari ini.
Difahamkan, peniaga lain tidak dapat meneruskan operasi perniagaan sehingga ada yang terpaksa menyewa atau menjual kepada pemilik baharu berikutan tidak sanggup berdepan dengan tindakan saman yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Seorang peniaga kedai runcit, Ishak Abd. Hamid, 57, berkata, dia tidak menyangka menerima notis arahan pengosongan tanah kerajaan negeri tanpa memberi sebarang budi bicara terlebih dahulu.
Menurutnya, dia dan isteri, Rokiah Bakar, 54, mengambil inisiatif membuka kedai menjual barangan runcit untuk kemudahan penduduk di situ berikutan kesukaran mendapatkan bekalan dapur di lokasi berhampiran ketika mula berpindah di situ.
“Kami mendiami perumahan flat ini lebih 15 tahun lalu dan dijanjikan pemaju kemudahan astaka dan sekolah yang berdekatan.
“Semasa pindah dahulu, kami terpaksa berjalan jauh atau menunggang motosikal lebih dua kilometer ke kedai runcit atau membeli barangan keperluan.
“Kami kemudian mengusahakan kedai runcit bagi kesenangan penduduk sehingga ke hari ini. Sebelum itu, kami terpaksa pindah-randah menyewa kedai sebelum membeli gerai ini daripada pemilik asal pada harga RM3,500 tiga tahun lalu,” katanya di sini, semalam.
Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Nini, 53, pula berkata, dia memilih mengusahakan kedai kuih setiap pagi dan petang bagi menampung kos pembelian makanan tambahan untuk anak orang kurang upaya (OKU) otot berusia 11 tahun termasuk pengangkutan ke hospital.
“Saya juga perlu membantu meringankan bebanan suami yang bekerja kilang termasuk keperluan anak yang masih bersekolah.
“Berasa sangat kecewa kerana baru hendak bernafas setelah terkesan pandemik Covid-19 selama dua tahun, kali ini kami pula terpaksa kosongkan premis,” katanya yang masih menunggu maklum balas dan penyelesaian daripada pihak wakil rakyat mengenai perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE