Kalau sengaja, ia cuma merugikan saya - Tya Ariffin - Utusan Malaysia

Kalau sengaja, ia cuma merugikan saya – Tya Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNCUL dalam satu majlis keraian bersama keluarga, pelakon dan selebriti media sosial terkenal, Tya Ariffin, 28, didakwa berani membuat kelainan menerusi penampilannya tempoh hari yang dikatakan persis seorang biarawati.

Hal seperti ini tentulah menjentik banyak hati dan mata orang kita sementelah satu daripada sebabnya, ia menyentuh mengenai cara bergaya yang tidak kena dengan imej dan agama Islam.

Orang kita pula, kalau bab itu, memang cepat beri ‘semburan’. Ramai pula yang tak senang duduk, kononnya sakit biji mata melihat menantu Datuk Seri Siti Nurhaliza ini bergaya tak seperti penyanyi kesayangan nombor satu negara itu.

Ditembak di kiri dan di kanan, Tya ketika dihubungi Pancaindera sudi untuk menjelaskan keadaan itu yang baginya bukanlah sesuatu yang disengajakan semata-mata untuk meraih perhatian orang atau tular.

Berikut adalah luahan wanita kelahiran Palembang, Indonesia ini buat pembaca yang budiman.

Terjebak kontroversi selepas dikatakan memakai tudung persis biarawati. Apa komen Tya?

Tak pernah terfikir untuk menggayakan tudung seperti yang didakwa. Tempoh hari, saya cuma bergaya ikut kesesuaian tema iaitu warna putih dan ya, memang ia majlis keraian bersama keluarga.Saya pula ditugaskan untuk menguruskan semua, sampai tak sempat pun nak buat persediaan mengenai busana apa yang nak dipakai. Disebabkan nak cepat dan majlis pula bermula awal, jadi, saya pakai saja busana itu tanpa sengaja. Mungkin saya pun terlepas pandang dan hanya sedar bila teman-teman dan netizen tegur.

Sampai diminta belajar lagi agama, walhal, Tya bukanlah seorang mualaf. Adakah bagi Tya, netizen ini keterlaluan?
Saya tak salahkan sesiapa. Setiap apa yang kita muat naik di media sosial itu, seharusnya kita kena terima apa kesannya. Maklumlah, ada yang suka, ada yang tidak. Saya nampak, apa yang berlaku dan teguran yang diberikan itu sebagai kasih sayang yang ditunjukkan kepada saya. Mereka prihatin jadi saya terima teguran dengan hati terbuka. Sayang itulah yang membuatkan mereka prihatin dengan saya. Terima kasih diucapkan dan tak pernah pula saya anggap mereka itu biadab atau keterlaluan. Saya cuma fikir yang baik-baik. Ia juga membuatkan saya mahu belajar jadi muslimah yang lebih baik, sebab tahu diri tak sempurna.

Adakah Tya tersinggung dengan kata-kata nista yang dilemparkan oleh netizen? Sampai disuruh tiru cara Tokti dan Izara. Dibandingkan?
Setiap orang memiliki progres atau transformasi masing-masing. Tak bolehlah asyik nak bandingkan saya dengan mereka atau sesiapa. Kita akan hidup dalam keadaan yang tak tenang. Kita patut tengok progres sendiri. Tapi, dalam hal ini, saya tak tersinggung atau fikir negatif. Bagi saya, lebih baik fokus untuk perbaiki diri. Saya pun sudah lama dalam dunia hiburan dan perniagaan. Ini semua adalah proses untuk kita memperbaiki peribadi, kerjaya mahupun dalam berniaga. Janji, kita nak belajar dan jadi manusia yang sentiasa terima teguran.
Tya rasa, adakah dalam setiap perkara yang dilakukan, netizen ini cuba mahu mencari kesalahan dan ingin menjatuhkan Tya?
Tak ada. Mungkin saya yang tak perasan. Maklumlah, kehidupan saya 24 jam sehari, banyak benda yang diuruskan, dengan keluarga, kerjaya, usahawan dan pasukan Mutyara saya. Saya sedang fokus dalam misi nak bantu lebih ramai lagi usahawan wanita, jadi tak perasan benda-benda lain. Saya cuba jadi manusia yang dapat memberi kebaikan dan manfaat kepada orang lain.

Ada juga yang anggap Tya cuba meraih publisiti murahan dengan cara ini (creating content), apa pula kata Tya?

Tak ada niat. Macam saya katakan, ia bukan sesuatu yang saya sengajakan. Kalau benda ini disengajakan, ia akan merugikan saya saja sebenarnya. Tapi tak apalah, benda dah jadi. Apa yang boleh dilakukan adalah terus memperbaiki diri untuk jadi seorang insan yang lebih baik. Banyak benda lain yang boleh kita fokuskan dan bagi saya, dalam hidup kalau kita fokus dengan apa yang hendak dilakukan, kita akan berkembang. Kalau negatif, maka negatiflah. Begitu juga sebaliknya.

Bimbang tak dengan sikap sesetengah pengguna media sosial yang tidak guna akal dan tidak bertanggungjawab sebagai pengguna?
Saya amat yakin, setiap manusia pasti mempunyai niat dan persepsi yang baik antara sesama insan. Jika ada sesetengah pengguna media sosial yang tak guna platform media sosial dengan baik, yakinlah, mungkin mereka sedang mengalami kejadian atau momen hidup yang kita tak pernah tahu. Kemudian menyebabkan mereka jadi begitu di platform orang lain. Kita tak boleh kawal apa orang nak buat, cuma boleh kawal diri sendiri. Saya ada 1.6 juta pengikut tapi tak boleh kawal apa yang mereka nak cakap atau rasa. Hanya boleh berdoa dan harap semua orang termasuk diri, menjadi insan lebih baik. Terima kasih buat semua yang berikan semangat dan sokongan, mereka umpama tulang belakang saya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya