PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan kegembiraan atas hubungan akrab antara Malaysia dan Brunei yang kini berada pada tahap membanggakan.
Perkara itu disampaikan Perdana Menteri pada majlis santapan yang dihoskan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan.
Beliau berkata, hubungan kedua-dua negara ditambah baik dengan peningkatan nilai dagangan dua hala sebanyak 70.4 peratus kepada RM8.03 billion pada tahun lalu berbanding RM4.71 billion pada 2020.
“Saya percaya inisiatif Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) yang dimeterai akan memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang dan menyatukan silaturahim yang lama terpisah berikutan penularan Covid-19.
“Pada masa sama, saya mempelawa Kebawah Duli Tuanku Sultan Brunei ke Malaysia untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan (Annual Leaders’ Consultation (ALC). Pada tahun ini, Malaysia menjadi tuan rumah bagi ALC kali ke-24 di Kuala Lumpur,” katanya menerusi Twitter beliau.
Ismail Sabri berkata, pengiktirafan bersama sijil vaksinasi dilihat bakal memudahcarakan perjalanan rakyat kedua-dua negara merentasi sempadan.
Katanya, usaha-usaha memuktamadkan penandaan persempadanan pula menjadi titik penting bagi mencapai kemuafakatan kedua-dua negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, hubungan akrab dua negara ini telah menyaksikan bantuan terawal Kerajaan Brunei kepada Keluarga Malaysia di saat kedua-dua negara berdepan wabak Covid-19 pada 2020.
“Kelengkapan perubatan dan kit ujian bernilai hampir RM2 juta yang disumbangkan kepada Malaysia pada tahun lalu telah memberi manfaat kepada hospital-hospital di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya. – UTUSAN