Hanya 8 warga Malaysia di Ukraine bakal dipindah keluar

Hanya 8 warga Malaysia di Ukraine bakal dipindah keluar

KEDUTAAN Besar Malaysia di Kyiv sedang berusaha membawa keluar baki lapan warga Malaysia keluar dari Ukraine.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengesahkan cuma tinggal baki lapan rakyat Malaysia di Ukraine ketika ini yang masih berada di ibu kota Kyiv.

Menerusi kenyataan rasmi diterbitkan di sini, beliau turut memaklumkan bahawa kumpulan tersebut akan turut disertai dua tanggungan mereka yang merupakan warganegara asing.

“Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv pada masa ini sedang berusaha melakukan proses pemindahan keluar kesemua individu berkenaan dalam masa terdekat,” tambah beliau.

Perdana Menteri ketika ini berada di Thailand sejak Khamis lalu untuk lawatan kerja rasmi julung kali ke negara jiran tersebut dan dijangka kembali semula ke tanah air pada hari ini.

Terdahulu semasa hari terakhir kunjungan ke Kemboja kelmarin, beliau memaklumkan terdapat sejumlah 23 rakyat Malaysia di Ukraine yang berdaftar dengan pihak kedutaan.

Bagaimanapun melalui kenyataan terbaharu beliau kali ini, bilangan yang sudah pun berjaya keluar dari negara Eropah itu bertambah seorang lagi menjadikan jumlahnya kini 13 orang.

Ukraine mula diceroboh Rusia pada pagi Khamis lalu susulan pengisytiharan oleh Presiden Vladimir Putin melancarkan operasi ketenteraan yang berskala penuh dari pelbagai arah.

Sebelum itu, beberapa negara asing terutama Barat telah mengarahkan rakyatnya keluar segera dari Ukraine untuk mengelak terperangkap dalam konflik dua negara jiran tersebut.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Malaysia berpendirian bahawa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) perlu memainkan tanggungjawab dalam krisis Ukraine.

“Malaysia juga meneruskan sokongan demi kepentingan bagi pengekalan kestabilan serta keamanan serantau dan sejagat selain mempromosikan kemakmuran bersama,” jelasnya.

Justeru, beliau menegaskan penyelesaian konflik berdarah kritikal di Ukraine perlu dilakukan menerusi dialog dan rundingan berdasarkan perundangan antarabangsa dan Piagam PBB.

Pada masa sama, Malaysia mengambil perhatian serius perkembangan itu dan mendesak semua pihak segera mengambil langkah bagi mencegah kehilangan nyawa orang awam.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN