Gerakan letak calon hensem, cantik

Gerakan letak calon hensem, cantik

DOMINIC Lau Hoe Chai berucap pada Majlis Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan Bahagian Kulai di Kelapa Sawit, Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Gerakan bakal mempertaruh calon-calon yang mempunyai tarikan fizikal dan rupa menarik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, faktor itu penting kerana PRN Johor dijangka diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang menyebabkan kurang interaksi bersemuka antara calon dan pengundi.

Katanya, rupa paras seperti calon lelaki kacak dan calon wanita yang cantik penting untuk menawan hati pengundi.

“Calon-calon yang diketengahkan Gerakan mewakili Perikatan Nasional (PN) perlu memiliki rupa paras untuk menarik sokongan pengundi kerana kami jangka PRN Johor diadakan dengan SOP ketat. Calon-calon akan lebih banyak berkempen menggunakan medium media sosial, poster dan gambar-gambar, jadi adalah penting untuk calon memiliki rupa.

“Selain itu, calon juga perlulah individu yang mempunyai ciri-ciri positif seperti ‘winnable’ dan ‘likeable’,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan Bahagian Kulai di Kelapa Sawit, di sini hari ini yang turut dihadiri  Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong; Pengerusi Gerakan Johor, Datuk Teo Kok Chee dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kulai, Tosrin Jarvanthi.

Sementara itu, Dominic masih berteka-teki berhubung jumlah kerusi yang ditandingi parti berkenaan sebaliknya hanya memberitahu mereka bertanding di lebih dua kerusi tetapi kurang daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Pada pilihan raya umum lalu, Gerakan bertanding di satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN, jadi pada PRN Johor kali ini, kita akan meletakkan calon di lebih daripada dua kerusi tetapi kurang daripada 10 kerusi.

“Kami yakin Gerakan mempunyai sokongan kuat daripada masyarakat akar umbi di negeri ini bukan sahaja daripada komuniti Cina tetapi semua kaum dengan pelbagai latar belakang yang berbeza,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, kesemua senarai nama calon-calon PN yang bakal bertanding dalam PRN Johor ini  dihantar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlebih dahulu.

“Langkah ini dibuat bagi memastikan kesemua calon PN adalah individu yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau sama ada melibatkan kes jenayah mahupun kes rasuah. Jika ada antara calon yang didapati mempunyai rekod lampau, kita akan terus buang nama berkenaan dan digantikan dengan calon baharu,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya