DUN Johor sebelum ini tidak cermin keseimbangan kaum - Utusan Malaysia

DUN Johor sebelum ini tidak cermin keseimbangan kaum

HASNI Mohammad (dua kiri) ketika menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Tiong Hua di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri yang lalu tidak menunjukkan identiti sebenar Johor yang merupakan sebuah negeri dengan kemajmukan dan keharmonian kaum.

Menurut beliau, hal itu kerana komposisi kaum antara Melayu dan bukan Melayu hampir seimbang, jadi barisan kepimpinan negeri sepatutnya memberi gambaran berkenaan.

“Melihat kepada DUN Johor sebelum ia dibubar, satu pihak iaitu kerajaan dibarisi wakil rakyat Melayu manakala pihak pembangkang diwakili bukan Melayu. Situasi berkenaan tidak betul kerana Johor bukan begitu.

“Sejarah tidak akan berbohong kerana dalam sejarah Johor, kita tidak boleh menafikan sumbangan dan peranan dimainkan semua pihak termasuk komuniti Cina yang menyumbang kepada situasi semasa negeri ini.

“Jadi tidak seharusnya wujud cubaan untuk menjadikan Johor ini ditadbir oleh satu-satu kaum sahaja,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Tiong Hua di sini.

Menurut Hasni, sehubungan itu pihaknya merasakan situasi berkenaan perlu diperbetulkan kerana itu yang dikehendaki rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Tambah beliau, tiada tempat untuk politik berasaskan kaum di negara dan negeri ini dan mana-mana pihak yang memperjuangkan agenda berkenaan perlu ditolak oleh rakyat.

“Jika rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini dan saya kekal sebagai Menteri Besar, saya akan terus memberi tumpuan kepada isu-isu dihadapi komuniti Cina.

“Hal ini termasuk soal ekonomi, cukai, pendidikan dan juga rumah-rumah ibadat bukan Muslim, selain isu-isu lain,” jelasnya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Hasni turut berharap masyarakat negeri ini akan bersama-sama menolak sebarang agenda perkauman oleh mana-mana pihak kerana semua rakyat negeri ini adalah anak Bangsa Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya