ICC tangguh prosiding tuduhan terhadap Duterte susulan masalah kesihatan - Utusan Malaysia

ICC tangguh prosiding tuduhan terhadap Duterte susulan masalah kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menangguhkan permulaan prosiding pengesahan tuduhan terhadap bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, yang sebelum ini dijadualkan bermula pada 23 September.

Menurut laporan Agensi Berita Filipina (PNA), penangguhan itu dibuat selepas pasukan pembelaan memohon prosiding ditangguhkan dengan alasan Duterte, 80 tahun, tidak sihat untuk menjalani perbicaraan.

Keputusan itu dibuat oleh Kamar Praperbicaraan 1, dengan majoriti hakim bersetuju penangguhan sementara diperlukan untuk meneliti permintaan pembelaan serta isu berkaitan.

Bagaimanapun, Hakim Maria del Socorro Flores Liera tidak bersetuju dan dalam pendapat berbezanya, menegaskan prosiding sepatutnya diteruskan seperti dijadualkan.

Prosiding pengesahan tuduhan merupakan fasa penting dalam sistem ICC, bertujuan menilai sama ada wujud bukti kukuh bagi meneruskan kes ke peringkat perbicaraan penuh di hadapan Kamar Perbicaraan.

ICC sebelum ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Duterte pada 7 Mac 2025 bagi dakwaan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan termasuk pembunuhan, penyeksaan dan rogol di Filipina antara 1 November 2011 hingga 16 Mac 2019, ketika beliau memegang jawatan sebagai Datuk Bandar Davao dan kemudiannya Presiden Filipina.

Duterte ditahan oleh pihak berkuasa Filipina dan menyerah diri kepada ICC pada 12 Mac, sebelum membuat penampilan awal secara pautan video pada 14 Mac, seperti yang dibenarkan oleh mahkamah.

Tarikh baharu untuk prosiding pengesahan tuduhan akan diumumkan selepas isu kesihatan dan permintaan pembelaan diselesaikan sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×