BATU PAHAT: Pernah berputus asa untuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah, Nurul Atiqa Noor Bi, graduan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akhirnya bangkit semula demi memastikan masa depan bersama anaknya lebih terjamin.
Nurul Atiqa, 26, yang berkahwin pada usia muda tidak menyangka jodohnya bersama bekas suami tidak berpanjangan apabila berakhir setelah dia selamat melahirkan anak perempuan mereka pada 2017.
“Saya berkahwin pada usia agak muda, malangnya jodoh saya berakhir. Saya masih ingat sewaktu kandungan berusia tujuh bulan, saya berulang-alik ke kelas setiap hari menaiki bas loceng sejauh 20 kilometer.
“Selepas berpisah, pada awalnya saya menangguhkan pengajian untuk satu semester sahaja, tetapi disebabkan rasa putus asa, saya bercadang untuk menamatkan sahaja pengajian di UTHM,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah yang menerima skrol sempena Konvokesyen ke-20, UTHM.
Tambahnya, selepas bercuti selama setahun, dia mula mengubah fikiran dan kembali menyambung pengajian untuk tahun yang ketiga.
Namun pada ketika itu, Nurul Atiqa sentiasa kesempitan wang untuk menampung pengajian dan membesarkan anaknya, Nur Aisyaa Zahra Mohd. Amirul yang kini berusia lima tahun secara bersendirian.
“Mujur UTHM ada menyediakan beberapa bentuk bantuan untuk menjaga kebajikan pelajar, maka dapatlah saya mohon zakat untuk membayar separuh daripada yuran pengajian,” katanya.
Namun, kos sara hidup yang semakin meningkat saban hari memaksa Nurul Atiqa yang kini berkhidmat sebagai perunding hartanah di sebuah syarikat di Batu Pahat mencari alternatif lain untuk menjana pendapatan sampingan.
“Saya mula berniaga kecil-kecilan di kawasan kampus namun hasil pendapatan tidak dapat menampung yuran pengajian, makan minum dan tambang bas pergi dan balik. Maka saya mengambil inisiatif untuk bekerja sambilan di sebuah pawagam bermula pukul 7 malam sehingga 2 pagi.
“Adakalanya saya tidak dibayar gaji mengikut masa yang dijanjikan menyebabkan urusan seharian saya agak terganggu kerana kesempitan wang,” katanya.
Walaupun pelbagai dugaan datang menimpa, berkat sokongan tanpa jemu daripada keluarga, pihak fakulti, para pensyarah dan rakan-rakan di UTHM, Nurul Atiqa nekad mahu menghabiskan juga pengajiannya.
“Saya sangat berterima kasih kepada keluarga, arwah bapa saudara dan rakan sekelas yang banyak membantu saya satu ketika dahulu kerana tanpa mereka mungkin saya tidak lagi meneruskan pengajian di UTHM.
“Akhirnya kepayahan saya menuntut ilmu dahulu telah membentuk siapa saya hari ini. Saya menjadi seorang yang lebih tabah, kuat, berdikari dan berkebolehan sehingga mampu membantu keluarga dan membesarkan permata hati saya tanpa mengenal erti lelah,” katanya. – UTUSAN










