PUTRAJAYA: Bermula 1 Mac ini, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengurangkan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 yang telah dimansuhkan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengurangan tersebut adalah sehingga 30 Jun sekali gus diharap membantu komuniti peniaga meneruskan perniagaan di dalam persekitaran perniagaan yang mencabar akibat penularan wabak Covid-19.
Katanya, dalam masa sama, SSM juga meneruskan pelaksanaan inisiatif yang diperkenalkan tahun lalu seperti di bawah inisiatif kedua iaitu Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP), yang menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada usahawan kumpulan B40 dan pelajar insitusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa.
“Bagi inisiatif ketiga, SSM meneruskan pelaksanaan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) secara percuma yang diharapkan dapat menggalakkan golongan orang kurang upaya (OKU) menceburi bidang perniagaan secara sah.
“Inisiatif keempat pula, SSM akan melanjutkan tempoh masa pendaftaran SSM BizTrust kepada entiti perniagaan berdaftar dengan SSM secara percuma sehingga 31 Disember ini manakala inisiatif kelima, SSM mencadangkan pindaan bagi menambah baik peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 berkaitan mekanisme penyelamat korporat dan skim kompromi atau perkiraan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, penambahbaikan serta pindaan ini akan membolehkan syarikat yang menghadapi masalah kewangan memohon proses rehabilitasi korporat yang bersesuaian agar syarikat boleh terus beroperasi.
“Inisiatif ini penting untuk membantu sektor korporat yang menghadapi masalah kewangan, terutama sekali akibat daripada kesan pandemik Covid-19 agar kekal beroperasi dan menjana ekonomi negara.
“Rang Undang-Undang (RUU) ini juga akan memperkenalkan peruntukan mengukuhkan polisi berhubung kerangka pelaporan pemunyaan benefisial yang komprehensif,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, melalui inisiatif keenam, SSM memperkenalkan peruntukan-peruntukan berkaitan mekanisme penyelamat korporat di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 bagi entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) yang menghadapi masalah kewangan.
“RUU ini bertujuan menambah baik kerangka perundangan sedia ada berkaitan rehabilitasi korporat bagi PLT. RUU ini juga akan memperkenalkan peruntukan mengukuhkan polisi berhubung kerangka pelaporan pemunyaan benefisial yang komprehensif.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan SSM berharap inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini dapat membantu ke arah pemulihan ekonomi negara sejajar dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel kepada [email protected] untuk maklumat lanjut berhubung perkara tersebut. – UTUSAN










