Dibelasah kerana tegur, pulas telinga remaja buat bising

Dibelasah kerana tegur, pulas telinga remaja buat bising

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Gara-gara menegur dan memulas telinga remaja yang membuat bising dengan menunggang motosikal, seorang pesara dan anak lelakinya dibelasah sekumpulan gangster yang dibawa bapa saudara remaja itu di Kampung Wakaf Lanas di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang, Mohammad Abdullah, 55, cedera di seluruh tubuh manakala anaknya, Muhammad Badrul Amin, 22, hampir putus jari kelingking kaki dan cedera seluruh badan akibat dipukul dengan kayu, besi dan parang.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, sebelum kejadian Mohammad memulas telinga seorang remaja berusia 14 tahun kerana menunggang motosikal sambil membuat bising di depan rumahnya.

Menurutnya, tidak lama kemudian, bapa saudara remaja itu yang digelar Abe Ja datang ke rumah mangsa bersama rakan-rakannya dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira dan beberapa motosikal.

“Kebetulan mangsa dan anaknya keluar dan baru sahaja tiba di rumah sebelum mendapati beberapa lelaki sedang menunggu di situ.

“Sebaik sahaja mereka keluar dari kereta, kumpulan lelaki terbabit terus menyerang dua beranak itu menggunakan kayu, besi dan parang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Ediansha, Muhammad Badrul Amin yang cedera parah dengan jari kaki kelingkingnya hampir putus akibat ditetak dibawa ke Hospital Tengku Anis sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Susulan kejadian itu kata beliau, polis menahan remaja yang dipercayai anak saudara suspek dan rakannya yang berusia 17 tahun di Kampung Bukit Abal di sini bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Empat suspek berusia 29 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat memukul mangsa dan anak lelakinya sudah dikenal pasti identiti dan mereka diminta menyerah diri kepada polis dengan segera,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata. UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya