KUANTAN: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum bersedia membekalkan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) sehingga Disember 2021 (DPT BLN12/2021) yang telah diwartakan pada 14 Januari lalu dipersoalkan.
Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh mendakwa, selepas sebulan diwartakan, SPR belum bersedia membekalkan senarai daftar pemilih itu kepada pihak yang ingin membelinya.
“Apakah alasan sebenar kegagalan tersebut? Adakah data berikut ada terdapat kesalahan atau ia disebabkan SPR tidak mahu membekalkan senarai tersebut kepada pihak pembangkang? Atau apa sebenarnya? Berkali-kali pihak unit data Pakatan Harapan (PH) tidak dibenarkan membeli DPT BLN12/2021 dengan pelbagai alasan.
“Saya terima pelbagai aduan dari unit data parti-parti PH berkenaan data yang pelik-pelik sebagai nama pengundi. Seperti ‘Deceased’ dan ‘Expired’ sebagai nama pemilih. Maka saya sendiri membuat semakan pemilih di laman web SPR menggunakan sampel nombor kad pengenalan dari DPT tersebut. Ternyata aduan tersebut adalah benar.
“Sebelum ini SPR menyediakan Rang Daftar Pemilih Tambahan setiap suku tahun yang dipamerkan kepada awam serta dibekalkan secara percuma untuk disemak oleh parti-parti politik dan individu membuat bantahan sebelum SPR mewartakan daftar pemilih tambahan tersebut. Akan tetapi amalan itu kini tidak lagi diteruskan dan DPT terpaksa dibeli oleh parti politik dengan kos yang mahal,” dakwanya dalam kenyataan di sini.
Beliau mendakwa, parti politik tidak lagi dibenarkan menyemak kesahihahan DPT dalam bentuk rang yang dipamerkan.
“Ia kini dipaksa untuk kami terima dan dipaksa pula untuk kami beli dengan harga yang mahal untuk tujuan menyemak.
“Saya gesa SPR membuat kenyataan secara terbuka berkenaan integriti data yang telahpun diwartakan tersebut. Bagaimana SPR boleh mewartakan sesuatu data melibatkan lebih 5.8 juta pengundi, tetapi dikhuatiri kesahihannya?
“Dan adakah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac ini akan dikompromi keputusannya kerana terdapat ‘irregularities’ pada daftar pemilih yang telah diwartakan?” Soalnya. – UTUSAN