KUCHING: Konsert muzik tradisional masyarakat Orang Ulu Sarawak yang dikenali sebagai sape pada malam penutupan Citrawarna Keluarga Malaysia 2022, Ahad ini bakal mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata seramai 100 orang pemain sape terlibat dalam pertunjukan tersebut.
Seramai 250 orang pemain akan memainkan sape secara fizikal dan 70 secara hibrid selama lima minit di Tebingan Kuching di sini.
Nancy berkata, selama dua tahun Malaysia tidak ada hiburan dan kali ini, kementeriannya membawa konsert sape ke Sarawak, bertujuan untuk mempamerkan kepelbagaian budaya dan perpaduan di Sarawak.
“Kalau hendak cari satu Malaysia, inilah peluang kita mempamerkan kepelbagai kaum etnik di negeri ini yang mempunyai 27 etnik, yang belum lagi dikira subetniknya.
“Ini melambangkan (kepelbagaian) apa yang Sarawak ada,” kata Nancy dalam sidang akhbarnya di sini hari ini.
Selain itu, katanya dari 24 hingga 27 Februari ini sebanyak 12 gerai makanan secara percuma akan dibuka di tapak bazar makanan di Padang Merdeka dan 40 khemah pameran dan jualan kraftangan dibuka di kawasan Jalan Main Bazaar dan 42 gerai pameran dan jualan kawasan Masjid India.
“Sasaran kita adalah dalam 50,000 orang akan mengunjungi pelbagai aktiviti kita sempena Citrawarna Keluarga Malaysia 2022.
“Hotel-hotel di Kuching sudak habis ditempah dan ini menunjukkan memang ramai yang menunggu aktiviti citra warna in kerana ini telah menjadi satu aktiviti yang paling besar di Malaysia dan pemilihan Sarawak bertepatan sekali kali ini sebagai destinasi citra warna tahun ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata peserta-peserta dari negeri-negeri lain, antaranya dari Perak, Sabah dan Johor akan menyertai mempamer dan menjual produk mereka dari negeri asal masing-masing agar orang di sini dapat merasa food fusion mereka. Turut dijual ialah pelbagai makanan tradisi rakyat Sarawak.
“Kita mahu tunjukkan kepelbagaian di negeri masing-masing, selain membantu meningkatkan ekonomi setempat.
“Ramai orang yang terjejas oleh Covid-19 dan banyak aktiviti yg telah ditutup dan inilah masanya kementerian saya membawa aktiviti berkaitan pelancongan ke sini,” ujarnya.
Mengenai keselamatan pengunjung berikutan peningkatan kes baharu Covid-19, Nancy berkata beliau sendiri telah cuba simulasi malam tadi untuk mengetahui langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP).
“Oleh sebab itu kita meminta orang ramai mematuhi SOP, seperti mendaftar diri masuk menggunakan MySejahtera dan pas yang telah disediakan sebagai mengehadkan jumlah kemasukan dan hanya menggunakan laluan masuk yang telah ditetapkan,” tambah beliau. UTUSAN










