PONTIAN: UMNO Bahagian Tanjung Piai perlu diberikan peluang untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Jefridin Atan berkata, walaupun kawasan tersebut merupakan kerusi tradisi MCA, namun tidak salah sekiranya peluang diberikan kepada UMNO untuk bertanding pada kali ini.
Katanya, ini kerana calon daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) itu telah dua kali gagal untuk mempertahankan kerusi tersebut yang sebelum itu dikuasai oleh mereka.
Menurut beliau, dengan majoriti pengundi Melayu kira-kira 60 peratus di DUN Pekan Nanas, peluang seharusnya diberikan kepada situasi semasa dan tidak bergantung kepada kerusi tradisi semata-mata.
“Memandangkan telah dua kali calon daripada parti komponen gagal mempertahankan DUN Pekan Nanas pada Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13) dan PRU-14, wajarlah peluang diberikan kepada UMNO pada kali ini.
“Ini bukan soal tamak tetapi UMNO perlu diberikan kesempatan untuk membuktikan keupayaannya bagi mengambil alih kerusi DUN Pekan Nanas yang kini dikuasai oleh DAP,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival D’ Kukup di Tanjung Piai, di sini, hari ini.
Jefridin yang juga Ahli Dewan Negara menambah, memandangkan PRN Johor telah menarik minat parti-parti baru termasuk Parti Warisan Johor (Warisan) yang menyatakan hasrat bertanding di kerusi itu, maka wajar perkara itu dipertimbang.
“Selain mempertahankan kerusi DUN Kukup, jentera pilihan raya BN juga perlu memberikan perhatian kepada kerusi DUN Pekan Nanas agar tidak terlepas lagi pada kali ini,” katanya.
Katanya, sekiranya seseorang itu dipilih menjadi calon, mereka bukan mewakili diri sendiri tetapi mewakili parti BN dan seharusnya usaha perlu dilakukan bagi memenangi kerusi yang ditandingi itu.
Mengenai pengundi 18 tahun dan juga pengundi kali pertama, pihaknya mengesan seramai lebih 16,000 pengundi untuk kedua-dua golongan itu akan menunaikan tanggungjawab mereka di Tanjung Piai.
Oleh itu katanya, rasa tanggungjawab dan ingin melihat negeri Johor diterajui oleh sebuah kerajaan yang kukuh dan dapat membela setiap lapisan rakyat perlu ada pada setiap sanubari pengundi muda.
“Suka tidak suka mereka (pengundi muda) telah menjadi sebahagian daripada kelompok yang terlibat dalam proses demokrasi dan menentukan kepimpinan negeri Johor selepas ini,” jelasnya. – UTUSAN