PASIR PUTEH: Sebanyak 312 unit tukun tiruan bernilai RM6.26 juta dilabuhkan di perairan Kelantan menerusi Program Melabuh Tukun Tiruan (Konservasi) oleh Jabatan Perikanan dan kerajaan negeri sejak 18 tahun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan, Datuk Azahari Othman berkata, program tukun tiruan itu terbukti berkesan dalam memulihara biodiversiti laut dan meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan.
Katanya, sebanyak 12 unit tukun dasar lembut penghalang pukat tunda (TDL-PT) yang masing-masing seberat 15 tan metrik dilabuhkan di kawasan perairan Pasir Puteh dan Bachok hari ini bagi menyokong usaha pemuliharaan habitat marin serta menghalang aktiviti penangkapan ikan tidak lestari.
“Program tukun tiruan bukan sahaja meningkatkan hasil perikanan tempatan malah melindungi habitat marin daripada ancaman penangkapan haram dan perubahan iklim.
“Ia adalah pelaburan strategik jangka panjang demi menjamin sekuriti makanan negara dan kelestarian sumber laut. Hasil maklum balas nelayan mendapati peningkatan mencapai tahap 90 peratus,” kepada selepas melabuhkan tukun tiruan di Tok Bali di sini, hari ini. – UTUSAN











