KEMAMAN: Hujan lebat berterusan sejak kelmarin menyebabkan beberapa kampung di daerah ini, mulai dinaiki air.
Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Teladas, Kampung Air Putih, Kampung Dadong, Kampung Padang Kubu, Kampung Tebak, Kampung Batu 16 dan Seberang Jabor.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, air sungai mula melimpah ke kawasan penempatan penduduk sejak pukul 8 pagi tadi.
“Sehingga pukul 10 pagi ini sudah ada beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka secara tidak rasmi dan penduduk mula berpindah, namun jumlah mangsa dan keluarga masih dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azman berkata, ketika ini beberapa laluan yang dinaiki air turut ditutup kepada kenderaan ringan.
Katanya, Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukur di Dungun turut dijangka dinaiki air jika keadaan hujan lebat berterusan. – UTUSAN










