Bank sengaja jual hartanah bawah harga pasaran - Utusan Malaysia

Bank sengaja jual hartanah bawah harga pasaran

ROSLAND MOHD. ARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank atau institusi kewangan didakwa sengaja melelong hartanah milik mangsa muflis di bawah harga pasaran sekitar 30 hingga 50 peratus walaupun nilai aset tersebut boleh dijual pada nilai lebih tinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, tindakan itu dilihat bukan sahaja menindas peminjam, malah merugikan pihak bank sendiri apabila gagal memperoleh baki hutang yang setimpal.

Beliau kemudian memberikan satu contoh di Petaling Jaya baru-baru ini apabila seorang mangsa mendakwa banglo RM1.1 dijual oleh pihak bank pada harga RM500,000 sedang­kan jumlah sepatutnya lebih tinggi daripada nilai pasaran.

Katanya, pihak bank sewajarnya melelong aset terlibat pada harga pasaran atau sekurang-kurangnya baki hutang supaya tidak membebankan kedua-dua pihak termasuk peminjam.

“Jika kita tanya kepada pihak bank, mereka memberikan alasan jumlah aset bergantung kepada aspek penilaian hartanah. Secara logiknya, mana ada nilai aset akan berkurangan, malah ia akan meningkat sekiranya lebih tiga tahun.

“Adakah nilai bawah pasaran adalah satu jumlah munasabah? Jika jual bawah nilai harga pasaran, bukan sahaja merugikan peminjam rugi malah bank sama terkesan?” katanya.

Beliau mengulas situasi muflis di negara kini yang semakin membimbangkan apabila seramai 10,317 individu diisytihar muflis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 hingga Julai lalu, akibat pandemik Covid-19.

Malah notis perintah kebankrapan dalam akhbar termasuk Utusan Malaysia semakin bertambah setiap hari, sekali gus memperlihatkan rakyat terus dibelenggu pelbagai hutang sehingga diisytiharkan muflis.

Mengulas lanjut, Rosland menambah malah terdapat pihak bank mengambil kesempatan terhadap jumlah keseluruhan hutang bagi memulakan notis kebankrapan peminjam walaupun pada hakikatnya mereka tidak mampu melunaskan baki pinjaman.

Katanya, sikap pihak pengurusan bank yang menindas peminjam menjadi punca peningkatan individu muflis walaupun perkara tersebut dapat diatasi dengan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak.

Beliau menegaskan pegawai bank terlibat seharusnya bertindak berperikemanusiaan de­ngan memberi peluang sama adil kepada peminjam untuk melunaskan hutang.

“Sebelum ke peringkat mahkamah untuk proses muflis, sebenarnya ada proses perundingan antara bank dan peminjam untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Bank kena berikan pertimbang kepada pelanggan membayar hutang walaupun secara sedikit dan beransur-ansur.

“Namun ia kena ada situasi menang-menang dengan pe­minjam sendiri perlu nyatakan komitmen untuk membayar hutang sekalipun dalam amaun kecil. Jika perkara ini berlaku, maka tidaklah berlaku trend muflis seperti mana hari ini sedangkan ia dapat diatasi dengan rundingan antara pihak-pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×