RANTAU PANJANG: Seramai 34 pesawah di dua kampung di sini mengalami kerugian lebih RM500,000 apabila padi yang baru berusia sebulan ditenggelami banjir akibat limpahan air Sungai Golok sejak semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati kawasan tanaman padi seluas kira-kira 160 hektar di Kampung Luar dan Kampung Tersang itu kini dinaiki air sedalam paras pinggang dan kelihatan seakan-akan lautan.
Wakil pesawah, Azli Jaafar, 54, berkata, hujan lebat mengakibatkan air Sungai Golok mula melimpah secara mendadak lalu membanjiri keseluruhan kawasan sawah mereka sejak petang semalam.
“Kami terkejut kerana banjir kali ini berlaku di luar musim tengkujuh iaitu penghujung Februari. Kami tanam padi ikut jadual kerana biasanya penghujung Februari dan menjelang Mac, cuaca panas sudah bermula.
“Namun situasi berbeza kali ini apabila banjir melanda secara mengejut. Semua petani tidak mampu berbuat apa-apa melihat padi yang baru berusia sebulan musnah ditenggelami air,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, kerugian dialami mereka dianggarkan lebih RM500,000 selepas mengambil kira modal awal dikeluarkan untuk menanam padi merangkumi kos sewa tanah, proses membajak, membeli baja, racun dan benih padi.
Sementara itu, seorang pesawah, Jahari Harun, 69, mencadangkan pihak berkuasa membina lebih banyak pintu air bagi mengatasi masalah sawah ditenggelami air banjir seumpama itu pada masa depan.
“Selain itu, kami berharap agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian mengkaji semula jadual penanaman padi kerana cuaca sekarang sudah tidak menentu sehingga berlaku banjir di luar jangka,” katanya. UTUSAN









