PASIR PUTEH: Petani yang tanaman mereka musnah berikutan banjir luar jangka ketika ini perlu berdaftar dengan mana-mana agensi pertanian bagi membolehkan taksiran kerugian dibuat dan data mereka direkodkan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, menerusi data itu, tabung bencana alam boleh disalurkan secara telus, selain mengelak berlaku kes terlepas pandang.
Menurutnya, antara agensi berkaitan termasuklah Pejabat Pertanian daerah, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta Lembaga Pemasaran Hasil Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Kerajaan sudah merangka bantuan bersesuaian menerusi dana tabung bencana alam. Cuma kita perlu ketepatan data kerugian berdasarkan hasil pemantauan pegawai yang akan turun padang serta sikap amanah petani sendiri.
“Petani juga harus faham bantuan disalurkan bukan bayaran ganti rugi tetapi usaha untuk meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Projek Ladang Kontrak Tembikai Fama di Kampung Haji Wan Omar, di sini hari ini.
Dalam majlis sama, Nik Muhammad Zawawi menyampaikan serahan hasil bayaran jualan tembikai berjumlah RM167,307 kepada 23 penanam selain peruntukan RM20,000 untuk pembinaan Pusat Pengumpulan Ladang (PPL).
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Datuk Mohamad Mustapha Awang dan Pengarah FAMA negeri, Wan Nora Wan Ahmad.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, kejadian banjir sepanjang bulan Februari adalah di luar jangkaan apabila berlaku dalam musim menanam dan menuai hasil tanaman.
“Kerajaan akan melaksanakan pendekatan yang telah ditetapkan untuk membantu petani yang terlibat sama ada dalam bentuk kewangan atau mengagihkan input pertanian dan peralatan yang diperlukan untuk penanaman semula,” katanya. -UTUSAN










