HULU TERENGGANU: Gara-gara banjir, seorang pengantin perempuan di Kampung Lubuk Periuk di sini lewat sejam ke majlis akad nikahnya di Masjid Felda Mengkawang, hari ini.
Siti Rau’ah Fatihah Mohamed, 21, berkata, majlis pernikahannya dengan pasangan, Muhammad Firdaus Zamri, 22, dijadualkan pada pukul 11 pagi, namun dia yang ditemani bapanya, Mohamed Mustaffa, 60, tiba pada pukul 12 tengah hari.
Katanya, air matanya hampir mengalir apabila melihat paras air naik secara mendadak hingga kediamannya banjir mulai pukul 9 pagi ini.
“Hujan lebat sejak semalam bukan sahaja menyebabkan rumah saya banjir tetapi jalan utama turut dinaiki air di beberapa tempat hingga tidak dapat dilalui kenderaan ringan.
“Sepatutnya saya bertolak ke masjid pukul 10.30 pagi tetapi terkandas, dan saya bersyukur kerana jiran yang memiliki kenderaan pacuan empat roda sudi membantu menghantar saya ke sana walaupun dalam kesibukan berpindah,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Lubuk Periuk hari ini.
Siti Rau’ah Fatihah berkata, dia selamat bergelar isteri kepada Muhammad Firdaus dengan dua kali lafaz selepas lima tahun berkenalan.
Katanya, majlis kendurinya dijadualkan esok di rumah sekali gus berharap urusan itu berjalan lancar susulan paras air yang mulai surut. – UTUSAN










