SEREMBAN: Seorang penduduk di Kampung Baru Rahang di sini tidak menyangka rumahnya turut terkena tempias hujan lebat dan angin ribut yang melanda beberapa kawasan di daerah ini petang kelmarin.
Tham Lock Heng, 57, kejadian tersebut betul-betul mengejutkan apatah lagi ia pertama kali berlaku selepas lebih 50 tahun dia menetap di kawasan tersebut.
“Ketika kejadian memang hujan dan angin agak kuat, saya bersama lima ahli keluarga yang lain sedang berehat dan kemudian mengelap lantai selepas air hujan mula memasuki rumah.
“Namun tiba-tiba sahaja siling rumah jatuh dan juga tertanggal diterbangkan angin ribut. Dua buah bilik tidak boleh diduduki kerana bumbung sudah tiada.
“Kami kemudian ke bilik belakang untuk berlindung sebelum jiran dan penduduk lain datang ke rumah memberikan bantuan. Memang saya betul-betul terkejut dengan kejadian yang menimpa ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Baru Rahang di sini.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Rahang, Liew Show Heng, 50, berkata, susulan kejadian ribut, sebanyak 14 buah rumah dan sebuah balai raya di kampung tersebut mengalami kerosakan.
“Kampung ini dilanda angin ribut disusuli hujan yang agak lebat dana kejadian berlaku lebih kurang setengah jam. Kejadian ini pertama kali berlaku dan melibatkan lebih 70 orang mangsa. Pihak MPKK telah mula memanggil kontraktor untuk membaiki 11 buah rumah yang mengalami kerosakan kecil.
“Sebuah keluarga yang rumah mereka musnah agak teruk telah ditempatkan sementara di sebuah hotel yang terletak berdekatan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan memanggil kontraktor bagi membaiki sebanyak 11 buah rumah yang mengalami kerosakan kecil.
“Sebanyak 11 buah rumah yang mengalami kerosakan kecil sedang dibaiki dengan menggunakan peruntukan Ahli Parlimen Rasah.
“Tiga buah rumah penduduk dan sebuah balai raya yang teruk terjejas pula. Saya akan melihat dahulu kerosakan yang dialami sebelum mengambil tindakan lain. Buat sementara, penduduk yang terjejas tersebut dipindahkan sementara ke perpustakaan kampung yang dijadikan sebagai tempat penginapan sementara.
“Sebuah keluarga yang rumah mereka sangat terjejas pula telah kami tempatkan sementara di hotel berdekatan,” katanya.