Adelinah bakal kibarkan bendera Sabah di puncak Everest

Adelinah bakal kibarkan bendera Sabah di puncak Everest

JEFFREY Kitingan (duduk-tengah) bersama Adelinah Litanga (duduk-kanan) menandatangani dokumen perasmian dan penyertaan Ekspedisi Everest di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Impian seorang wanita Adelinah Lintanga yang disimpan sejak lima tahun lalu untuk menawan puncak Gunung Everest akhirnya bakal tercapai.

Menerusi Program Keluarga Malaysia Ekspedisi Everest 2022, Adelinah,37, akan merealisasikan impian untuk mendaki puncak Gunung Everest pada bulan Mei ini.

ADELINAH LINTANGA

Pelari maraton itu berkata, kali pertama beliau menjejakkan kaki di Nepal pada 2017 bagi menyertai Royal Penguin Ultra Marathon sejauh 60 kilometer yang diadakan di kaki Gunung Everest.

“Pada masa itu, saya sudah menyimpan impian untuk datang semula ke Nepal bagi mendaki Gunung Everest.

“Tidak sangka, permohonan saya menyertai Ekspedisi Everest kali ini membolehkan saya merealisasikan impian menawan puncak Everest. Saya menghantar resume menyertai program ini pada Januari lalu dan saya amat teruja kerana terpilih sebagai satu-satunya wakil Sabah,” katanya semasa sidang akhbar hari ini.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, persediaan dari segi fizikal sudah mencukupi namun, beliau masih perlu menguatkan mental kerana pendakian ini memberi cabaran yang berbeza berbanding larian marathon.

Faktor cuaca yang sejuk dan ketinggian akan memberi cabaran yang hebat kepadanya namun, beliau bersedia mengharungi cabaran itu bagi memastikan kibaran bendera Sabah di puncak Everest dapat dilakukan.

Adelinah berkata, beliau akan menjalani latihan pendakian di Gunung Kinabalu serta dua gunung di Nepal sebelum meneruskan ekspedisi menawan Gunung Everest.

Pelari yang berasal daripada Kota Belud itu berkata, beliau akan berasa bangga sekiranya menjelang hujung Mei nanti, bendera Sabah boleh dikibarkan di puncak gunung tertinggi di dunia berkenaan.

Sementara itu, pendaki negara, Ravichandran a/l Tharumalingam berkata, menerusi program ini, mereka akan bergerak dalam kumpulan yang disertai lima pendaki termasuk dua pendaki wanita daripada Sabah dan Sarawak serta lima sherpa atau malim gunung.

“Kita sudah mengkaji risiko yang akan dihadapi dan akan cuba mengurangkan risiko tersebut namun, ia bergantung kepada keadaan cuaca. Pendakian ini akan mengambil masa perjalanan selama 60 hari.

““Memandangkan kos bagi setiap pendaki kira-kira RM168,000 (USD 40,000) maka, kami akan cuba mengumpul dana dan berharap mendapat sokongan daripada kerajaan negeri,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, beliau akan membawa perkara itu ke dalam Kabinet Negeri untuk melihat bantuan yang boleh diberikan bagi menyokong penganjuran program tersebut. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.