Adakah Muda wakili orang bandar sahaja? - Tanya AMK Johor - Utusan Malaysia

Adakah Muda wakili orang bandar sahaja? – Tanya AMK Johor

R. YUNESWARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menolak tiga kerusi yang ditawarkan PKR seolah-olah takut berentap di kawasan yang majoritinya ramai pengundi Melayu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, R. Yuneswaran turut mempertikaikan perjuangan parti itu yang hanya memilih untuk bertanding di kawasan bandar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, PKR Johor telah membuka ruang yang cukup luas untuk membuat rundingan dua hala sejak awal bersama parti Muda namun gagal mencapai kesepakatan.

“Dalam perbincangan yang diadakan bersama Muda, parti telah menawarkan tiga kerusi kepada mereka namun mereka tolak ketiga-tiga kerusi dan sebaliknya minta tiga kerusi yang lain. Kalau tolak satu atau dua, maka masih boleh pertimbangkan untuk tukar kerusi yang lain tapi mereka tidak mahu kerusi kawasan majoriti Melayu atau kawasan luar bandar.

“Adakah Muda hanya mewakili suara rakyat bandar sahaja? Bagaimana pula kawasan luar bandar? Kenapa Muda tidak mahu bertanding di kawasan yang mempunyai pengundi Melayu melebihi 78 peratus? Apakah mereka takut pengundi Melayu akan tolak mereka dalam PRN Johor?” Soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu perbincangan antara kedua-dua pihak itu gagal mencapai kata sepakat apabila PKR telah membuat keputusan mengumumkan senarai calon di 20 kerusi sekali gus menamatkan rundingan rasmi bersama Muda.

Yuneswaran memberitahu, sekiranya parti Muda mengangkat atau mewakili suara dan aspirasi rakyat, maka parti itu harus membuktikan mereka mempunyai sokongan di semua kawasan termasuk dari pelbagai latar masyarakat khususnya di luar bandar.

“Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan antara 20 kerusi yang PKR akan bertanding. Komposisi pengundi adalah 90.6 peratus Melayu, Cina (8.6 peratus) dan India (0.3 peratus).

“Kerusi DUN Sri Medan adalah kerusi yang paling tinggi pengundi Melayu antara 20 kerusi yang PKR akan bertanding. Ini baru ‘gentlemen fight‘. Sebagai parti politik, kita harus berani menghadapi semua rintangan bukan duduk dalam zon selesa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya