SAYA ingin mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Syahredzan Johan yang menyatakan sentimen dan persepsi negatif dimainkan pihak tertentu mengenai pemimpin Melayu dalam DAP tidak menggugat sokongan rakyat kepada calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Syahredzan berkata, kebanyakan tanggapan negatif itu timbul daripada pihak yang tidak mengenali pemimpin Melayu dalam DAP dengan lebih dekat.
Ahli Parlimen Bangi itu juga meminta orang ramai berfikir dengan menyatakan, “Cuba fikir baik-baik, sudut manakah yang dikatakan menggugat Melayu-Islam sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan hari ini? Tiada ada langsung malah perlembagaan DAP sudah dipinda dua kali”.
Untuk pengetahuan, pada dua tahun lalu, wujud dakwaan beberapa pihak daripada DAP menolak pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.
Umum mengetahui, pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini hanya melibatkan umat Islam sahaja, tetapi DAP didakwa menentangnya. Di sini jelas menunjukkan DAP mempunyai niat tidak baik terhadap Islam, sedangkan mereka patut mengambil tindakan berkecuali dalam hal-hal melibatkan agama Islam.
Sementara mengenai jawatan sebagai perdana menteri, saya beranggap jawatan itu layak dipegang oleh orang Melayu yang pernah menerajui UMNO. Ini disebabkan parti Melayu itu merupakan salah satu pihak yang berusaha keras menuntut kemerdekaan negara.
Begitu juga Pas, mereka juga layak menjadi perdana menteri kerana parti itu menegakkan undang-undang Islam dan menghapuskan lesen-lesen maksiat.
Pandangan saya, kepimpinan DAP memberi ruang kepada orang Melayu hanya bersifat tersirat untuk menghalang usaha-usaha yang dilakukan secara halus atau tidak nampak.-UTUSAN
TEROPONG JAUH
Jerantut, Pahang










