Pendidikan bukan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku dalam bilik darjah, tetapi bentuk pemindahan nilai, budi pekerti serta budaya daripada seorang dewasa (guru) kepada anak kecil yang sedang membesar mencari arah dalam kehidupan.
Guru bukan sahaja dilihat sebagai penyampai ilmu, malah sebagai insan yang mencorakkan masa hadapan bangsa melalui akhlak serta keperibadian. Justeru, kita perlu menyedari peribadi dan akhlak seorang guru mempunyai pengaruh besar dalam membentuk sistem kukuh pendidikan selain membina generasi pelapis yang unggul.
Malangnya, ada dalam kalangan guru yang tersasar daripada nilai teras profesion pendidik yang sebenar. Guru alpa bahawa setiap perbuatan mereka diperhatikan bukan sahaja oleh masyarakat tetapi murid. Mereka akan memerhati dan meniru secara tidak langsung.
Seandainya guru menunjukkan keperibadian yang lemah, tidak bermoral atau terlalu mengikut arus hiburan melampau, maka nilai yang dibawa kepada murid akan turut rosak. Dalam banyak kes, ada guru yang tampil di media sosial dengan kelakuan yang memalukan profesion seperti berdansa secara keterlaluan, bergurau dengan kata-kata lucah, mengenakan pakaian tidak sopan atau menyertai trend hiburan yang tidak berfaedah.
Perkara seperti ini bukan sahaja merosakkan imej individu itu sendiri, tetapi turut mencemarkan institusi pendidikan.
Finland, negara ini terkenal sebagai antara sistem pendidikan terbaik di dunia bukan hanya kerana kurikulum fleksibel atau kelas kecil, tetapi kerana integriti dan keperibadian guru yang sangat tinggi.
Untuk menjadi seorang guru, seseorang itu perlu melalui proses saringan yang ketat dan menyambung pelajaran sehingga ke peringkat sarjana. Guru diberi penghormatan yang sangat tinggi dalam masyarakat, setaraf dengan doktor dan peguam kerana masyarakat di sana percaya tugas membentuk generasi masa hadapan adalah tugas paling mulia.
Guru tidak sewenang-wenangnya menjadi ‘penghibur media sosial’, sebaliknya mereka memegang etika yang ketat dalam menjaga maruah diri dan profesion mereka. Guru Finland tidak menunjukkan kelakuan yang boleh menjejaskan reputasi mereka walaupun di luar sekolah, kerana sedar perbuatan peribadi mencerminkan nilai pendidikan negara.
Begitu juga di Jepun, seorang guru dianggap sebagai sebahagian daripada pembina negara. Murid-murid berdiri dan memberi tunduk hormat kepada guru setiap kali sesi pembelajaran bermula dan berakhir. Hubungan antara guru dan pelajar sangat dihormati dan perkara ini berlaku bukan kerana arahan atau peraturan semata-mata, tetapi guru benar-benar menunjukkan teladan yang baik kepada murid.
Kita juga boleh melihat bagaimana Korea Selatan meletakkan guru sebagai elemen penting dalam pembangunan bangsa. Walaupun tekanan pendidikan di sana agak tinggi, namun status seorang guru tetap dipandang tinggi. Di sana, guru tidak terlibat dalam aktiviti luar batas yang memperlekehkan profesion mereka. Mereka menampilkan diri dengan penuh wibawa, walaupun dalam penggunaan media sosial.
Mereka bijak menyesuaikan teknologi dalam pembelajaran tanpa menggadai nilai dan prinsip sebagai pendidik. Hal ini menunjukkan kemajuan teknologi bukan alasan untuk merendahkan maruah profesion perguruan, sebaliknya ia boleh menjadi alat untuk memperkukuh penghormatan terhadap guru jika digunakan secara berhemah.
Jika benar-benar mahu melahirkan anak bangsa yang cemerlang, maka kita mesti pastikan mereka diasuh dan dibimbing oleh insan yang benar-benar layak dijadikan contoh. Guru yang berilmu tinggi tetapi rendah budi bahasanya akan hanya melahirkan generasi yang bijak tetapi angkuh. Sebaliknya, guru yang berilmu sederhana tetapi tinggi akhlaknya akan melahirkan anak bangsa yang tahu hormat, berbudi dan berjiwa besar.-UTUSAN
NUR AQILAH MOHD. HELME
SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong,
Johor










