PUTRAJAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menjelaskan 42 calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan dipilih berdasarkan kehendak rakyat dan komposisi pengundi.
Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tidak semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor sesuai dengan Pejuang kerana mereka adalah sebuah parti Melayu.
Beliau berkata, jika dominasi DUN itu bukan kawasan Melayu, maka agak sukar untuk menang di kawasan itu.
“Kita tak nak tunjuk kita tamak untuk bertanding di semua 56 kerusi sebaliknya 42 kerusi itu cukup dan jika menang separuh pun sudah cukup.
“Kita mahu bertanding berdasarkan faktor-faktor tertentu ada kemungkinan kita boleh menang iaitu dengan mengambil kira kawasan Melayu, umur calon dan mengelak bertembung di kubu kuat UMNO,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Aspirasi Pejuang Johor, di sini hari ini.
Katanya, pihaknya akan mengumumkan senarai penuh calon PRN Johor dalam satu majlis di Johor pukul 2 petang esok.
Ditanya mengenai latar belakang calon Pejuang pada PRN Johor, Dr. Mahathir berkata, calon berkenaan bukan dalam kalangan ahli politik yang dikenali sebaliknya seorang nasionalis yang mahu negara diperintah dengan baik.
“Kita tumpu kepada calon yang tiada kes rasuah dan mereka yang tidak mahu mencari kekayaan melalui politik tetapi mahu mencari kemenangan untuk parti.
“Mereka (calon) ini dahulunya bukan orang politik tapi masuk politik kerana geram melihat bagaimana politik diseleweng dan disalah guna ahli politik,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan turun padang bagi membantu kempen Pejuang di PRN Johor, Dr. Mahathir berkata, beliau akui mahu turun berkempen, namun dinasihatkan doktornya supaya tidak berbuat demikian.
“Saya sudah 97 tahun dan doktor menasihatkan saya supaya lebih berhati-hati dan saya pula baru pulih daripada masalah kesihatan yang teruk,” katanya.
Berhubung potensi kemenangan Pejuang dalam PRN Johor, Dr. Mahathir berkata, pihaknya akui mempunyai peluang yang baik kerana masing-masing parti bertanding akan bertembung antara satu sama lain.
“Apa yang penting di Johor ialah siapa yang akan dilantik sebagai Menteri Besar. Itu yang membezakan Pejuang dengan parti lain kerana parti ini bergerak sendiri.
“Malah, kami ada calon berkebolehan dan berpotensi serta boleh memimpin dengan baik,” katanya. –UTUSAN










