PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan sebanyak 151 buah sekolah menengah di Johor digunakan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya sudah dimaklumkan perkara itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan beberapa perkara berkaitan sedang diperincikan.
Beliau berkata, KPM sebelum ini sudah memohon kepada SPR supaya tidak menggunakan sekolah menengah bagi PRN Johor kerana bimbang mengganggu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPRM) 2021, namun terpaksa akur dengan kekangan dihadapi SPR sendiri.
“Kami sedar SPR ada akta tertentu untuk membolehkan mereka menggunakan premis-premis yang diperlukan ini termasuk sekolah menengah. Bagaimanapun, kami sudah meminta SPR supaya meminimumkan penggunaan sekolah menengah ini dengan turut melibatkan juga sekolah rendah.
“Pada masa sama, kami juga sudah maklumkan kepada SPR supaya tidak menggunakan bilik-bilik utama peperiksaan SPM 2021 kerana bilik ini sudah disusun dan diatur mengikut angka giliran calon,” katanya dalam sidang akhbar selepas program pelancaran Yayasan Didik Malaysia, hari ini.
Katanya, sebarang gangguan kepada susunan itu akan memberi implikasi besar kepada kelancaran SPM di negeri berkenaan.
Radzi berkata, pihaknya mahu SPR melihat perkara itu dan jika boleh elak, maka elakkan daripada menggunakan bilik-bilik utama SPM 2021.
“Ini kerana peperiksaan SPM 2021 tidak macam tahun sebelum ini kerana jarak dan kedudukan meja sudah berubah daripada 0.8 meter tahun lalu kepada 1.5 meter tahun ini. Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid sudah duduk berbincang dengan pengetua sekolah terbabit bagi memperincikan perkara ini,” katanya.
Pada masa sama, Radzi berkata, pihaknya juga mahu supaya guru berkaitan termasuk yang bertugas sebagai pengawas peperiksaan dan pemeriksa kertas dikecualikan sebagai petugas PRN Johor.
Menurutnya, beliau mahu guru-guru ini dikecualikan kerana buat masa ini, mereka perlu tumpukan kepada SPM 2021 sepenuhnya.
“SPM adalah komponen penting untuk ibu bapa, malah calon SPM 2021 ini sudah terkesan dengan pelajaran hampir dua tahun. Mereka (calon SPM 2021) ini adalah kohort yang paling terkesan dengan pendekatan kurikulum baharu, justeru kami tidak mahu mereka ini terganggu dengan PRN Johor,” katanya. – UTUSAN